JDT melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA dengan bergaya apabila berjaya menewaskan PDRM 5-2 pada aksi suku akhir kedua, sebentar tadi.

Pada aksi di stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, anak buah Marion Gomez menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang mereka untuk menggempur pasukan lawan.

Berbekalkan kelebihan satu jaringan yang dikutip pada perlawanan di tempat lawan sebelum ini, Harimau Selatan begitu mudah meneruskan kemaraan mereka.

Secara agregat JDT menyingkirkan PDRM dengan jaringan 6-2.

Tuan rumah tampil selesa dengan penguasaan serangan berbanding pasukan pelawat seawal separuh masa pertama. JDT dilihat menggunakan setiap posisi untuk memerangkap lawan dengan hantaran pendek.

Juara Liga Super 2015 membuktikan kehebatan apabila hanya memerlukan tempoh 15 minit permainan untuk menjaringkan gol pembukaan yang dihasilkan penyerang import, Jorge Pereyra Diaz.

Pemain dari Argentina itu terus melebarkan jurang jaringan melalui gol kedua 13 minit berselang.

PDRM dilihat begitu tertekan dengan penguasaan dan jaringan JDT, malah percubaan serangan balas mereka mudah disangkal barisan pertahanan lawan.

Belum sempat membangkitkan kemaraan mereka skuad The Cops dihukum dengan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil kepada JDT sekali gus disempurnakan Safiq Rahim untuk gol ketiga.

Dua minit kemudian, JDT terus berpesta gol melalui jaringan cantik Azinee Taib di minit ke-42.

Aksi separuh masa kedua, PDRM cuba mempamerkan kebangkitan apabila pemain import, Andre Francisco Wiliams meledak pertama mereka empat minit selepas permainan bersambung.

Kemaraan mereka semakin menjadi apabila gol kedua pada minit ke-63 menerusi Ahmad Nizam Rodzi yang menyempurnakan sepakan percuma menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Walaupun tersentak dengan dua jaringan lawan, JDT tidak cepat melatah dan berhasil meledak gol kelima menerusi penyerang import, Juan Martin Lucero pada minit ke-66.

Kedudukan 5-2 merancakkan lagi persembahan kedua-dua pasukan dengan aksi berbalas serangan, namun tiada gol tambahan dihasilkan sehingga wisel penamat ditiupkan.

Dengan kemenangan itu menyaksikan JDT bakal berdepan naib juara Piala Malaysia 2015, Kedah di peringkat separuh akhir.