Pemain nombor satu dunia, Chen Long dari China menjelaskan bahawa keadaan gelanggang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam tidaklah teruk seperti yang dilaporkan.

Biarpun banyak pemain merungut tentang keadaan gelanggang itu, Chen Long ( gambar ) berasa selesa beraksi di situ dan tidak berdepan masalah mencatat kemenangan di pusingan kedua hari ini, menewaskan Vincent Wong Wing Ki dari Hong Kong 21-17 dan 21-12.

"Pemain-pemain ping pong (dari China) memberitahu saya gelanggang di stadium ini amat teruk...tetapi apabila saya beraksi di sini, saya merasakan ia tidaklah seteruk dengan apa yang dimaklumkan kepada saya sebelum ini," kata Chen Long.

Stadium Malawati, yang digunakan sebagai gelanggang Kejohanan Ping Pong Dunia sebelum ini, mendapat banyak rungutan mengenai keadaan stadium berkenaan daripada pemain badminton terkemuka China.

Pemenang pingat emas dua kali Sukan Olimpik, Lin Dan, juara dunia beregu wanita, Tang Yuanting-Yu Yang dan bekas juara dunia, Fu Haifeng, kesemuanya dari China, mempersoalkan kemudahan yang disediakan di stadium itu, terutama gelanggang pemanas badan.

Selain gelanggang ditimpa titisan air dipercayai daripada sistem penghawa dingin, pemain-pemain turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ruang gelanggang pemanas badan.

Dalam pada itu, Chen Long akan berdepan rakan senegara Tian Houwei di suku akhir, esok.

Tian Houwei, yang merupakan pemain perseorangan ketiga China, menewaskan Hsu Jen Hao dari Taiwan 23-21 dan 21-18 pada pusingan kedua hari ini.

"Berdepan Houwei bukan tugas yang mudah. Saya perlu memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu esok," kata juara bertahan, Chen Long yang mengintai gelaran kedua Terbuka Malaysia.

- Bernama