Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berjaya merampas kembali gelaran Terbuka Malaysia selepas menumpaskan pemain nombor satu dunia, Chen Long, di Stadium Melawati Shah Alam, sebentar tadi.

Penampilan Chong Wei kali ini berjaya memperdaya jaguh dari China itu dengan mendominasi permainan melalui dua set berturut-turut.

Keputusan 21-13 dan 21-8 itu sekali gus merampas kejuaraan daripada Chen Long yang merupakan juara bertahan kejohanan tersebut.

Set pertama menyaksikan Chong Wei tidak terlalu menggunakan smash kencang, sebaliknya banyak hantaran-hantaran mengelirukan di posisi belakang dan depan gelanggang mencabar ketangkasan Cheng Long.

Kelebihan beraksi di 'kampung' sendiri nampaknya digunakan Chong Wei sebaik mungkin untuk merangkul gelaran ke-11 Terbuka Malaysia.

Untuk rekod Chong Wei memenangi kejohanan tersebut pada 2004 hingga 2006 dan 2008 hingga 2014.

Beraksi di hadapan lebih 10,000 penyokong, penguasaan pemain kelahiran Pulau Pinang itu nampak begitu ketara, manakala Chen Long pula dilihat tidak terlalu melawan lebih-lebih lagi di set kedua.

Chong Wei meninggalkan pesaingannya dengan mata 11-3 di pertengahan perlawanan sebelum meneruskan langkah kanannya meninggalkan Chen Long untuk keputusan 21-8.

Bagaimanapun, berbanding tempoh 35 minit ketika menewaskan pemain Denmark Jan O Jorgensen di saingan separuh akhir semalam, Chong Wei memerlukan tempoh 43 minit untuk menewaskan Chen Long.

Penyampaian hadiah kepada pemenang acara perseorangan lelaki.itu disempurnakan oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Beregu campuran terpaksa akur

Sementara itu, aksi perseorangan wanita pula dimenangi pemain dari Thailand Ratchanok Intanon dengan menumpaskan pemain Taipei Tai Tzu Ying dengan keputusan 21-14, 21-15.

Kategori beregu lelaki, pasangan dari Korea Selatan Kim Gi Jung dan Kim Sa Rang menewaskan pemain China Chai Biao dan Hong Wei dengan mata 21-19, 21-15.

Sebaliknya beregu wanita pula menjadi milik pasangan dari China Tang Yuanting dan Yu Yang yang menewaskan Jung Kyung Eun dan Shin Seung Chan dari Korea Selatan.

Satu lagi aksi melibatkan pemain Malaysia iaitu kategori beregu campuran menyaksikan Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa akur kepada pasangan dari Indonesia Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir menerusi set ketiga.