Gaduh tak jejas Selangor hadapi Sheikh Jamal
Isu pergaduhan antara dua pemain Selangor iaitu Mauro Olivi dan Mohd Hafiz Kamal dilihat tidak menjejaskan persediaan skuad itu menghadapi saingan Piala AFC 2016 malam esok.
Malah Olivi juga direhatkan sementara daripada latihan dan perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas insiden di bilik persalinan susulan kekalahan 1-3 kepada Felda United Jumaat lalu.
Kapten Selangor, Shahrom Abdul Kalam berkata ketiadaan pemain import dari Argentina itu bukan masalah besar untuk berdepan kelab dari Bangladesh, Sheikh Jamal DhC.
Menurut Shahrom pasukannya sudah menemui punca masalah prestasi yang membelenggu skuad itu selepas melakukan 'post mortem'.
"Memang selepas kalah dengan Felda United semangat kami agak jatuh. Tetapi kami sudah buat post mortem dan mengenal pasti masalah yang wujud.
"Jadi ia mungkin permulaan baru untuk kami keluar dari masalah prestasi sebelum ini.
"Mengenai kes Olivi biarlah pengurusan yang buat keputusan, kami sebagai pemain perlu terus pandang ke depan terutama bertemu kelab Sheikh Jamal esok," katanya pada sidang media praperlawanan Piala AFC, di Kuala Lumpur hari ini.
Penting mata penuh
Pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan E dengan kelab tersebut pada 15 Mac lalu, skuad bimbingan Zainal Abidin meraih kemenangan 4-3.
The Red Giants kini berada di kedudukan ketiga kumpulan selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu tewas.
Shahrom berkata, apa yang lebih penting kini mereka perlu bermain sebagai satu pasukan dan bukannya bergantung kepada individu.
"Pasukan Selangor lebih penting dari individu dan kami perlu berjuang habis-habisan," katanya.
Sementara itu Zainal berkata, misi mengejar tiga mata penuh amat penting buat pasukannya sekiranya mahu meneruskan saingan pusingan kedua.
"Saya harap pemain tidak ambil mudah perlawanan ini walaupun kita menang pada perlawanan sebelum ini.
"Banyak orang pandang rendah pasukan lawan, tetapi laluan Selangor tidak mudah. Mereka juga mahu cari kemenangan," jelasnya.

