Sheikh Jamal harap warga Bangladesh 'serbu' stadium
Turun bertemu Selangor dengan "serba kekurangan", kelab dari Bangladesh - Sheikh Jamal DhC - mengharapkan rakyat negara itu yang berada di Malaysia turun beramai-ramai ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok.
Ketua jurulatihnya Shafiqul Islam Mank berkata, sekiranya lebih ramai penyokong pasukannya datang meniupkan kata-kata semangat, mungkin pemain akan lebih gigih berjuang di atas padang.
Pada aksi timbal balik Piala AFC 2016 itu nanti, katanya, pasukan mereka tiba di negara ini dengan hanya 14 pemain.
Malah, kata Shafiqul Islam, mereka juga berdepan masalah pemain yang cedera.
"Bagaimanapun kami tetap mengharapkan keputusan yang terbaik pada perlawanan itu nanti," katanya pada sidang media praperlawanan di Kuala Lumpur, siang tadi.
Pada perlawanan pertama yang berlangsung di Bangladesh pada 15 Mac lalu, Sheikh Jamal tewas 3-4 kepada skuad The Red Giant.
Shafiqul Islam berkata, mereka terpaksa bersedia dengan hanya tiga pemain simpanan kerana pemain lain masih cedera dan perlu direhatkan.
Dalam saingan kumpulan E itu, Sheikh Jamal berada di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan.
Selangor yang dibimbing Zainal Abidin Hassan pula di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata.

