Play-off Piala Asia 2019: Larkin jadi pilihan
Skuad Harimau Malaysia mempunyai peluang cerah untuk menang dalam perlawanan play-off Kelayakan Piala Asia 2019 berikutan kedua-dua pertemuan menentang Timor Leste diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perlawanan kedua bertemu Timor Leste dijadualkan pada 7 Jun ini sepatutnya berlangsung di tempat lawan.
Bagaimanapun katanya, Presiden Persekutuan Bola Sepak Timor Leste Francisco Kalbuady Lay membuat permohonan supaya perlawanan tersebut turut diadakan di Malaysia seperti perlawanan pertama pada 2 Jun.
"Kita menerima permohonan daripada mereka susulan keadaan infrastruktur di Timor Leste kurang memuaskan.
"Saya dihubungi Francisco dan memberitahu secara lisan perlawanan kedua itu akan diadakan di Larkin," katanya pada sidang media bulanan FAM dan skuad kebangsaan, di Kelana Jaya hari ini.
Surat pada AFC
Tambah Hamidin, pihak pengurusan Timor Leste juga akan menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk dapatkan kelulusan sebelum dimuktamadkan.
Ditanya mengapa FAM memilih stadium di Larkin sebagai lokasi perlawanan itu menurut beliau, skuad kebangsaan sudah merancang siri jelajah ke seluruh negara melalui perlawanan yang dihadapi di samping bertujuan untuk mendekati peminat.
"Sebelum ini pada aksi persahabatan antarabangsa bertemu Macau kita adakan di Stadium Hang Jebat, Melaka, lepas ini ke Larkin sebelum ke Sabah dan Sarawak," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri bukan perkara mudah untuk anak buahnya berdepan cabaran pasukan lawan.
"Ini kerana Timor Leste akan menyediakan pasukan mantap dan mereka juga tak perlu banyak travel berbanding pemain pasukan kita untuk kedua-dua perlawanan.
"Kita perlu ingat Timor Leste akan berada di sini (Larkin) dari 2 hingga 7 Jun, maknanya mereka dapat menyiapkan pasukan untuk beri saingan.
"Tapi kita ada kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri dan diharapkan kita mampu melakar kemenangan," katanya.
Menyerang tapi tak jaring gol
Ong berkata, apa yang penting bagi pasukan negara kini adalah prestasi pemain di posisi penyerang yang perlu diberi tumpuan.
"Masalah penyerang kita sekarang ini hanya menyerang tetapi tidak boleh menjaringkan gol.
"Kita ada masa sebulan untuk tengok prestasi beberapa penyerang bagi memastikan kita berjaya menghasilkan gol ketika bertemu Timor Leste," katanya.
Sementara itu sebelum kedua-dua perlawanan tersebut, Harimau Malaysia akan menentang Myanmar pada aksi persahabatan antarabangsa pada 28 Mei depan.

