'Anggap setiap perlawanan adalah final'
Penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat tidak mahu rakan pasukannya memandang rendah kemampuan Pahang yang kini ditangga tercorot Liga Super, pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok.
Beliau berkata, walaupun ramai pemain Pahang musim lalu sudah meninggalkan pasukan itu namun pemain baharu mempunyai keserasian dengan corak permainan di bawah kendalian jurulatih Razip Ismail.
"Dalam keghairahan kami bagi mendapatkan tiga mata penuh pada perlawanan tersebut, kami tidak ambil mudah, kami anggap setiap perlawanan adalah final buat pasukan," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, semalam.
Khairul Fahmi mahu rakan sepasukannya berhati-hati dengan penyerang import Pahang, Dalibor Volas yang dilihat berkemampuan menjaringkan gol.
"Dalibor Volas dilihat sebagai ancaman berbahaya bagi kami selepas pemain tersebut meledak hatrik ketika menewaskan Perak pada perlawanan sebelum ini," katanya.
Kelantan kini berada di tangga keenam Liga Super.
-Bernama

