Dua bapa mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan penghargaan terhadap pasukan bolasepak kesayangan apabila menamakan anak yang baru dilahirkan dengan nama salah seorang pemain import pasukan itu.
Nama pemain dari Albania, Liridon Krasniqi menjadi pilihan Isma Aliff Ismail, 30 dan seorang lagi penyokong kuat pasukan Kedah yang dikenali sebagai Ariff.
Nama 'Liridon' dan 'Krasniqi' kini terpahat di sijil kelahiran Isma Krasniqi Isma Aliff yang dilahirkan pada 16 April lalu dan Ahmad Liridon Ariff yang kini berusia tiga bulan.
Isma Aliff berkata, minatnya terhadap Liridon timbul sejak awal kemunculan pemain itu bersama pasukan Kedah dan selaku peminat setia skuad hijau kuning, beliau mengakui kagum dengan aksi pemain itu di atas padang.
"Sejak tahun lalu khususnya, saya sanggup pergi ke mana-mana perlawanan melibatkan pasukan Kedah termasuk ketika Kedah bertemu pasukan Lions XII di Singapura tahun lalu.
"Kehadiran Liridon begitu menambat hati saya sebagai peminat bola sepak. Liridon membuktikan dirinya seorang pemain hebat dan mampu mengancam gawang lawan," katanya kepada Malaysiakini.
Justeru itu menurut Isma Aliff, sempena kelahiran anak ketiganya beliau mendapat inspirasi untuk menamakan cahaya matanya itu dengan nama Isma Krasniqi.
"Perkataan Isma itu saya pilih untuk sesuaikan dengan nama saya, manakala nama Krasniqi sebagai perkataan kedua yang diambil sempena nama Liridon," katanya.
Isma Krasniqi dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dengan berat 3.9 kilogram.
Sementara itu, seorang lagi penyokong Kedah yang dikenali sebagai Ariff turut memilih nama Liridon sebagai nama anaknya Ahmad Liridon.
Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini melaporkan, Liridon sebelum ini mengadakan lawatan ke rumah keluarga Ahmad Liridon di Alor Setar untuk melihat sendiri bayi itu.
Melalui video yang disiarkan KFA, Liridon berkata, beliau sangat terharu dan berasa dihargai apabila namanya dipilih sebagai nama bayi tersebut.
Pasukan Kedah kini dilihat sebagai pasukan yang mempamerkan prestasi memberangsangkan selepas muncul juara Liga Perdana musim lalu.
