Selepas menjadi pasukan pertama menewaskan JDT musim ini, Kedah menghadapi sedikit tekanan untuk meneruskan saingan seterusnya.

Ini kerana jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berpendapat, pasukan yang menentang anak buahnya selepas ini pasti akan membuat persediaan lebih rapi sebelum turun ke padang.

Berkunjung ke gelanggang T-Team untuk aksi Liga Super, malam ini, Cheng Hoe berharap pemainnya dapat kekalkan momentum kemenangan mereka.

"Memang selepas perlawanan Piala FA dengan JDT, pemain agak keletihan kerana impak perlawanan tersebut. Saya harap pemain dapat pulihkan tenaga mereka dan fokus perlawanan malam ini.

"Saya yakin jika pemain mempamerkan aksi seperti ketika bertemu JDT, kita boleh meraih kemenangan berdepan T-Team," katanya kepada Malaysiakini.

Sabtu lalu, Kedah menang tipis 2-1 ke atas JDT pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Susulan kemenangan itu, Cheng Hoe berkata, pemainnya mendapat suntikan motivasi walaupun menyedari T-Team bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan.

"Kita tak dapat gambaran penuh mengenai pasukan T-Team, tetapi kita tahu mereka menang dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini termasuk menumpaskan Kelantan.

"Itu menunjukkan mereka bukan satu pasukan yang mudah dikalahkan," katanya.

Ditanya mengenai keadaan pemain, beliau berkata, seorang pemain import Kedah iaitu Sandro da Silva tidak dapat diturunkan susulan kecederaan yang dihadapinya.

"Saya berharap sesiapa sahaja yang diturunkan menggantikan Sandro dapat menjalankan tugas dengan baik seperti dirancang," jelasnya.

Skuad Helang Merah kini berada di tangga kelima Liga Super dengan mengutip 10 mata, manakala T-Team di bawah kendalian jurulatih dari Indonesia Rahmat Darmawan di posisi ketujuh dengan kutipan sembilan mata selepas tujuh perlawanan.