10,000 penyokong 'boikot' Arsenal di Emirates
Arsenal berjaya mengatasi West Brom Albion di Emirates awal pagi tadi namun kemenangan itu juga menyaksikan kira-kira 10,000 tempat duduk stadium itu tidak berpenghuni.
Pemain Chile Alexis Sanchez menyumbang kedua-dua gol Arsenal untuk membolehkan kelab itu melangkaui Manchester City ke tempat ketiga.
Ia juga mengukuhkan harapan The Gunners untuk tetap bersaing di peringkat Eropah pada musim depan.
Secara rasmi - mengikut data pembelian tiket - jumlah kejadiran di Emirate ialah 59,568 orang namun kira-kira 10,000 penyokong mereka tidak hadir untuk memberi sokongan sebagai mesej jelas memprotes cara Arsenal diurus Arsene Wenger.
Tak tahu apa nak jadi
Mengulas perkembangan itu Wenger berkata penyokong perlu terus memberi keyakinan kepada Arsenal dan turun ke stadium setiap kali perlawanan berlangsung.
"Jika anda sayangkan bola sepak, anda perlu turun dan menyokong kami, dan saya rasa anda dapat melihat pemainan berkualiti.
"Itu yang kami cuba berikan kepada penonton. Anda lihat kedudukan liga dan anda tahu, pada kami setiap mata adalah penting," katanya.
Pengurus dari Perancis itu juga mengakui kelab itu mengalami tekanan berterusan dan berazam untuk kekal fokus dalam permainan.
Mengenai kemenangan ke atas West Brom awal pagi tadi Wenger berkata mereka mendominasi pemainan dari awal hingga ke wisel penamat ditiup pengadil
"Sepatutnya Arsenal boleh menyumbat lebih banyak gol tetapi itulah masalahnya, kami gagal menyempurnakan peluang," katanya.
Bercakap tentang nasib Arsenal menjelang akhir musim ini Wenger berkata dia mahu berada di kedudukan terbaik yang mampu dicapai.
"Tiada siapa tahu apa akan terjadi pada masa depan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan kita mahu terus menang.
"Saya tak pasti di mana tempat Arsenal akhirnya namun kami berjanji memberikan sepenuh keupayaan untuk memenangi setiap perlawanan dan bersedia dengan kekentalan pasukan lawan," katanya.

