Selepas kontroversinya dengan Majlis Sukan Negara (MSN) Kedah, atlet angkat berat Erzuwanie Che Kamarulzaman dilamar Selangor untuk beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Julai nanti.

Erzuwanie ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau telah menerima tawaran tersebut secara rasmi dan bersedia berkhidmat untuk kontinjen Selangor.

"Selepas suarakan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku, alhamdulillah masih ada pihak yang sudi memberi tawaran dan peluang kepada saya," katanya.

Rabu lalu, atlet 20 tahun itu mendakwa tidak dibayar elaun sejak Julai tahun lalu melalui Skim Kecemerlangan kepada atlet yang memenangi emas.

Sehingga sekarang, katanya, hanya RM1,450 elaun. Beliau mendakwa sepatunya menerima RM500 setiap bulan, yang menjadikan RM5,000 jika dikira sejak Julai tahun lalu.

Bagaimanapun Pengarah MSN Kedah Mohd Rizal Mohd Radzi dilaporkan berkata, pihaknya sudah menjelaskan elaun RM300 sebulan dari Oktober hingga Disember 2015 dan elaun RM500 bagi Januari tahun ini kepada atlet tersebut.

Susulan itu tersebut Erzuwanie menarik diri daripada mewakili Kedah pada SUKMA akan datang.

Beliau berkata, namanya sebagai atlet Selangor juga telah didaftarkan untuk menyertai kejohanan itu.

"Buat masa sekarang saya menjalani latihan sendiri dengan bantuan senior dan menunggu panggilan untuk menyertai kem latihan di MNS Selangor," jelasnya.

Beliau bercita-cita memecahkan rekod angkat berat SUKMA dengan angkatan sehingga 85 kilogram.

Korbankan pelajaran, pekerjaan

Erzuwanie memulakan karier sebagai atlet angkat berat Kedah pada 2013 dan beberapa kali mengharumkan nama negeri itu dalam kejohanan sebelum ini.

"Pada 2014 saya berhenti daripada mewakili Kedah kerana mahu tumpu perhatian kepada peperiksaan SPM.

"Kemudian pada 2015 saya sertai semula kem latihan untuk teruskan karier dalam sukan angkat berat," katanya.

Tambahnya, dia juga memilih untuk tidak sambung pengajian semata-mata untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada acara sukan itu.

"Saya dapat tawaran sambung belajar, kemudian dapat tawaran kerja. Tapi saya lebih pentingkan karier sebagai atlet," katanya.

Selain itu, Erzuwanie berkata, selepas pendedahannya mengenai isu tersebut, ramai di kalangan rakan-rakan atlet turut mengadu nasib sama tetapi tidak berani bersuara.