Syarikat D'Herbs Holding bakal membuat pengumuman penting mengenai hasrat menaja pasukan bola sepak Kedah, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.

Perkara itu diberitahu oleh pengasasnya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman melalui pengumuman kepada media.

Menurut pemilik syarikat produk kecantikan itu, beliau akan hadir ke Stadium Darul Aman untuk menyaksikan perlawanan Liga Super antara kedah dan JDT.

"Saya akan membuat satu pengumuman penting ketika berada di sana," katanya menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.

Aliff Syukri sebelum ini dilaporkan akan menaja skuad Helang Merah dengan nilai tajaan berjumlah RM30 juta untuk tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, kontrak penajaan tersebut masih diperhalusi bagi memastikan kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

D' Herbs sejak Februari lalu telah mendekati Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan hasrat untuk menaja pasukan tersebut, bagaimanapun sehingga kini masih belum terlaksana.

Selasa lalu Aliff Syukri berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah merangkap presiden KFA.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut.