Banyak usaha dilakukan barisan pemain Selangor untuk menang ketika berdepan kelab dari Fiipina, Ceres La Salle FC.

Namun, tendangan daripada Mauro Olivi, Andik Vermansyah atau Nazmi Faiz tidak meluru ke posisi tepat bagi membolehkan ia membolosi benteng gawang lawan.

Pada aksi kelima kumpulan E Piala AFC itu, skuad The Red Giant sekadar seri tanpa jaringan dicabar Ceres La Salle FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Walaupun banyak peluang dicipta anak buah Zainal Abidin Hassan, ternyata ia gagal disudahi dengan pengakhiran bermakna untuk mengutip tiga mata penuh.

Kelebihan beraksi di tempat sendiri sekadar dizahirkan Selangor untuk menguasai permainan namun penyudahnya tidak seperti diharapkan.

Jentera Selangor yang diketuai Sharom Abdul Kalam tampil mendominasi rentak perlawanan. Walaupun begitu ia kemudian berjaya diseimbangkan pasukan pelawat.

Mesti menang lepas ini

Banyak hantaran bola berjaya diumpan ke kawasan pertahanan Ceres La Salle FC namun nasib kelihatan tidak memihak kepada Selangor untuk mencipta jaringan.

Olivi sendiri - sebagai penyerang utama - dilihat lebih banyak melakukan gerakan secara sendiri apabila bola dikakinya.

Di saat gerakan penyudah diharapkan, hasilnya sekadar tendangan lemah dan mudah diselamatkan penjaga gol Ceres La Salle FC.

Bagaimanapun keputusan 0-0 itu membuka peluang positif buat Selangor untuk mara ke peringkat seterusnnya apabila menduduki tangga kedua kumpulan selepas lima perlawanan.

Gergasi Merah turut bertuah apabila keputusan satu lagi perlawanan melibatkan kumpulan E menyaksikan Sheikh Jamal DhC menumpaskan Tampines Rovers 3-2.

Tampines Rovers sebelum ini mendahului kumpulan itu dengan kutipan tujuh mata melalui empat perlawanan terdahulu.

Kini Selangor oleh menarik nafas lega dengan lapan mata di belakang Ceres La Salle FC namun mereka tidak boleh kalah apabila berdepan Tampines Rovers pada 10 nanti.