Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala FA: JDT dapat 50,000 tiket perlawanan akhir

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) beroleh kelebihan awal menjelang final Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, 14 Mei ini, selepas diperuntukan 50,000 tiket.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam menjelaskan berdasarkan cadangan awal, sepatutnya setiap pasukan diberi peruntukan 30,000 tiket, namun PKNS FC hanya meminta 10,000 tiket.

"Ini bermakna JDT meraih 50,000 keping tiket manakala baki 10,000 keping tiket lagi akan dijual secara dalam talian bermula 9 Mei ini di laman sesawang www.tickethotline.com.my," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

FMLLP ialah entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia bermula musim ini.

Kevin berkata hanya tiket dewasa yang berharga RM50 dikeluarkan untuk aksi final kali ini dan tiada tiket kanak-kanak bagi mengelakkan penyalahgunaan tiket yang didakwa terjadi dalam beberapa aksi final, sebelum ini.

Apa saja boleh berlaku

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Mohd Fahmy Yahya menjelaskan 50,000 tiket berkenaan hanya akan dijual di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 9 Mei ini.

"Kami berterima kasih kepada PKNS FC yang bermurah hati memberikan kita tambahan 20,000 tiket.

"Walaupun kami meraih lebih banyak tiket, ini tidak bermakna ia kelebihan kepada kita. Dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku," katanya.

Sementara itu wakil PKNS FC Md Adi Harmizi Ariffin memaklumkan pihaknya hanya meminta 10,000 tiket setelah mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pengurusan pasukan itu sendiri.

Beliau turut menjelaskan tiket berkenaan akan mula dijual kepada penyokong di Stadium Shah Alam pada 9 Mei ini.

"Walaupun kami hanya meminta 10,000 tiket sahaja, kami yakin ada penyokong yang melakukan pembelian tiket menerusi atas talian," katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM Datuk Osman Salleh pula menegaskan dianggarkan 1,500 anggota keselamatan termasuk polis, RELA dan anggota trafik selain 150 anggota keselamatan syarikat pengurusan acara, akan bertugas pada aksi final nanti.

"Kami juga menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan untuk tidak membawa bahan larangan ke dalam stadium dan pemeriksaan ketat akan dilakukan di pintu masuk pada hari perlawanan nanti," kata Osman.

JDT mara ke final Piala FA setelah mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Kedah manakala PKNS FC menang dengan agregat 4-3 ke atas Perak dalam satu lagi aksi separuh akhir, 30 April lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS