Pertandingan sukan membabitkan atlet kurang upaya bukan halangan untuk penyokong bergaduh.

Di Chemnitz, Jerman kira-kira 60 penyokong kelab Galatasaray dan Besiktas bergasak sesama sendiri menyebabkan tujuh cedera dan terpaksa dirawat di hospital.

Pergaduhan itu berlaku dalam perlawanan bola keranjang Liga Juara-juara Eropah kelmarin.

Jurucakap polis berkata penyerang menggunakan pisau dan kayu besbol untuk menyerang lawan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan serius dilaporkan.

"Perlawanan terpaksa ditangguhkan dan tujuh penonton dikejarkan ke hospital.

"Enam daripada mereka dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan," katanya.

Sebuah bas dinaiki kira-kira 50 penyokong meninggalkan kawasan dewan menempatkan gelanggang itu sebaik saja pergaduhan tercetus.

Ia ditahan polis berhampiran Erfurt, kira-kira 120 kilometer di barat Zwickau.

Ia bukan keganasan pertama membabitkan penyokong dua kelab Turki itu. Untuk maklumat Galatasaray dan Besiktas berpangkalan di Istanbul.

Pada 2012, seramai 10 penyokong ditahan kerana bergaduh dalam pertandingan di Istanbul.

Penyokong dilaporkan menyembur gas pemadam api kepada lawan masing-masing, memaksa polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan rusuhan berkenaan.