Harapan menggunung tinggi tetapi pada perlawanan keduanya, pasukan Kelantan diaibkan 2-5 di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Ia bukan permulaan yang diidamkan sesiapa termasuk Velizar Emilov Popov yang baru dilantik mengemudi skuad The Red Warriors (TRW).

Sejurus tamat perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super menentang Selangor Sabtu lalu, Popov memberi isyarat penting kepada barisan pemain sekali gus menunjukkan keterampilan beliau sebagai seorang jurulatih.

Kata Popov, pemain yang tidak berminat bersama skuad TRW dipersilakan untuk meninggalkan pasukan itu dengan kadar segera.

Sementara itu, Presiden kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Mahizi Mahmood (gambar) berkata, penyokong sebagai tulang belakang pasukan menyambut baik kata-kata Popov.

"Saya rasa kebanyakan penyokong sependapat dengan beliau. Tiada yang lebih besar dan diutamakan berbandingan kepentingan pasukan.

"Kita tidak mahu moral pemain yang memberi komitmen 100 peratus kepada pasukan tiba-tiba jatuh disebabkan ada antara ahli pasukan tidak menunjukkan prestasi sebenar," katanya.

Jurulatih dari Bulgaria itu dilaporkan kecewa dengan sebahagian prestasi pemainnya yang gagal memberi komitmen terbaik pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu.

Mahizi berkata, Popov telah mengambil tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap skuad TRW.

"Beliau mengambil tugas untuk meletakkan Kelantan kembali di landasan yang sepatutnya.

"Kita berharap, kata-kata jurulatih itu akan lebih menaikkan semangat pemain. Dan kita lihat Popov seorang jurulatih yang cukup profesional," jelasnya.

Kegagalan meraih kemenangan di gelanggang sendiri itu meletakkan Kelantan di tangga ke lapan Liga Super selepas mengharungi 12 perlawanan dengan pungutan 13 mata.