Edisi ke-22 perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) dijadualkan pada 22 Feb hingga 1 Mac tahun depan dan akan kembali bermula dari Pulau Langkawi.

Pengumuman rasmi tarikh perlumbaan LTdL 2017 dilakukan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali pada majlis penyampaian hadiah sorakan 'Semangat LTdL 2016' di Putrajaya hari ini. 

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal, penganjur perlumbaan iaitu Ciclista Sports Sdn Bhd mahu mengembalikan kegemilangan perlumbaan berprestij itu ke pulau legenda berkenaan selepas kali terakhir dilakukan pada 2014 yang menyaksikan penyertaan enam pasukan Pro Tour.

Namun katanya laluan perlumbaan 2017 masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa negeri serta daerah yang terlibat dan akan diumumkan pada bulan depan.

"Kita akan bermula di Langkawi tahun depan dan untuk penamat, kita belum tentukan lagi...semua perkara melibatkan laluan masih dalam perbincangan, saya sedang berurusan dengan beberapa negeri.

"Apabila bermula di Pulau Langkawi, perbelanjaan juga meningkat. Kita telah mula mencari penaja kerana perkara ini penting untuk mendapat penyertaan pelumba terbaik dunia menyertai LTdL tahun depan," katanya.

Emir berkata kebanyakan pelumba mahu Genting Highlands menjadi salah satu laluan perlumbaan dan penganjur akan berbincang dengan pihak terlibat untuk mengetahui tahap keselamatan di sana.

Mengenai jumlah pasukan Pro Tour yang akan menyertai LTdL 2017, Emir berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan penyertaan lebih daripada tiga pasukan Pro Tour berbanding tahun ini.

Pada edisi ke-21 tahun ini, tiga pasukan Pro Tour yang mengambil bahagian adalah Astana, Tinkoff dan Dimension Data.

"Persiapan tahun depan lebih teratur dan kami mempunyai masa untuk mencari lebih banyak pasukan Pro Tour berbanding tahun ini.

"Jika dapat lebih banyak pasukan Pro Tour, kualiti perlumbaan akan menjadi lebih baik. Kami belum membuat surat jemputan rasmi tetapi saya jangkakan perlumbaan kali ini akan disertai lebih daripada tiga pasukan Pro Tour berbanding tahun ini," katanya.

Menurut Emir, pemilihan tarikh perlumbaan yang bermula dan berakhir pada hari bekerja mendapat maklum balas yang baik dalam kalangan pasukan Pro Tour.

"Kali ini kita mahu memulakan perlumbaan pada Rabu dan berakhir pada Rabu juga kerana saya mendapat maklum balas terbaik daripada pelumba Pro Tour.

"Ini kerana apabila perlumbaan dimulakan dan berakhir pada hari bekerja, ia lebih memudahkan jadual perjalanan mereka," katanya.

- Bernama