Di Matteo dilantik jadi pengurus Aston Villa.
Bekas pengurus yang membawa Chelsea memenangi Piala Juara-juara Roberto Di Matteo disahkan mengisi tempat ditinggalkan Remi Garde di kelab Aston Villa.
Di Matteo yang masih memiliki sebuah rumah berhampiran Birmingham tidak menguruskan mana-mana kelab sejak meninggalkan skuad Bundesliga, Schalke, pada Mei 2015.
Media melaporkan nama Di Matteo memang menjadi pilihan utama pemilik baru Villa, Dr Tony Xia. Sebelum ini nama lain yang dikaitkan dengan kelab itu ialah David Moyes dan Nigel Pearson.
Hartawan dari China, Xia, memberitahu Telegraph Sport dia percaya kemampuan Di Matteo dapat membantu populariti Villa di luar negara.
Dengan pelantikan itu bermakna dua daripada tiga kelab yang tersingkir dari EPL kini dikendalikan pengurus berprofil tinggi.
Sebelum ini Newcastle mengikat bekas pengurus Real Madrid Rafael Benitez untuk mengendalikan skuad berkenaan naik semula ke persaingan EPL.
Menang Piala FA
Di Matteo bermula sebagai pemain Chelsea sebelum dilantik membantu Andre Villas-Boas pada 29 Jun 2011.
Namun pemilik The Blues tidak berpuas hati dengan prestasi Villas-Boas menyebabkan pengurus dari Portugal itu dipecat. Tempat Villas-Boas diisi Di Matteo selaku pengurus sementara.
Bersama Chelsea Di Matteo membawa The Blues menjuarai Piala FA dengan mengalahkan Liverpool 2-1 di Stadium Wembley pada 5 Mei 2012.
Pada 19 Mei pula Di Matteo mengungguli Piala Juara-juara mengalahkan Bayern Munich di gelanggang kelab gergasi Jerman itu sendiri.
Perlawanan terikat 1-1 selepas masa tambahan menyebabkan pemenang terpaksa ditentukan melalui tendangan penalti.
Chelsea menang dengan jaringan 4-3.
Villa tersingkir ke liga bawahan untuk kali pertama dalam tempoh 29 tahun selepas mengumpul hanya 17 mata daripada 38 perlawanan.
Selain Newcastle yang berada di kedudukan ke-18, satu lagi kelab yang terkeluar dari EPL ialah Norwich City yang berada di tangga ke-19 dengan 34 mata.
Sebelum ini Di Matteo pernah dikagumi kerana membawa kelab West Brom Albion bersaing di EPL ketika mengendalikan pasukan itu antara 2009 hingga 2011.

