ULASAN Dua kemenangan berturut-turut ke atas Timor Leste pada aksi play-off Piala Asia 2019 menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan bolehlah menarik nafas lega.

Ya, setelah kemarau kemenangan yang panjang, kritikan, makian dan cemuhan bertalu-talu di media sosial mungkin sedikit reda buat masa sekarang.

Namun, mungkin masih terlalu awal untuk terlalu memuji ketajaman 'taring' Harimau Malaysia yang nampaknya berkilau menerkam mangsa bernama Timor Leste itu.

Tapi tidak salah untuk kita mengucapkan sekalung tahniah buat ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dan barisan pemain pilihan beliau kali ini.

Ternyata proses transisi pemain yang dimulakan beliau menampakkan hasil positif. Sekurang-kurangnya pasukan kebangsaan tidak kalah dan permainan yang dipersembahkan mereka nampak ada perubahan.

Perlu diakui proses transisi dilakukan Kim Swee membawa anjakan baru khususnya dari aspek pemilihan pemain dalam skuad kebangsaan.

Sekurang-kurangnya, Kim Swee tidak bergantung kepada pemain itu, itu dan itu saja untuk menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa.

Pemilihan pemain seperti Brendan Gan, Khair Jefri Jones, Putera Nadher Amarhan Maderner, Ahmad Hazwan Bakri dan Abdul Latif Suhaimi dalam kesebelasan utama membawa Malaysia ke jalan keluar dari takuk lama.

Kim Swee nampaknya berani mengambil risiko dan mungkin dia mahu melihat potensi dan keupayaan pemain baru. Dan sudah tiba masanya untuk beliau tidak lagi berharap kepada muka-muka lama yang sering disandarkan dengan "segunung pengalaman".

Misalnya dalam perlawanan malam tadi, Amirul Hadi Zainal dan Ahmad Hazwan menjadi sandaran jentera serangan dalam formasi 4-4-2 disusun Kim Swee.

Penyerang berkampung di laman sendiri

Kepercayaan di bahagian depan sebelum ini milik pemain seperti Shahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Amri Yahyah, Wan Zack Haikal Wan Noor.

Perubahan agak drastik dapat dilihat khususnya apabila pemain posisi tengah seperti Amirul Hadi diberi kepercayaan untuk berada di barisan depan kali ini.

Pada dua aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin itu, pemain negara dilihat berjaya memberi tekanan kepada pasukan pelawat, malah barisan pemain Timor Leste lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Permainan yang dipersembahkan juga lebih teratur dan tidak tergesa-gesa. Memang kita cuma melawan Timor Leste, pasukan yang boleh dikatakan duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan Malaysia.

Dan terlalu awal juga untuk kita memuji proses transisi yang dibuat Kim Swee sejak beliau mengambil alih jawatan sebagai pengendali pasukan kebangsaan menggantikan Dollah Salleh.

Selepas ini, skuad Harimau Malaysia akan berdepan siri perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Papua New Guinea pada 17 Jun, New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun).

Hasil ketiga-tiga aksi tersebut diharap bukan sekadar untuk meningkatkan ranking dunia, tetapi bakal menjadi ukuran lebih jelas terhadap kewibawaan Kim Swee dan pemain negara.

Sementara itu melalui dua perlawanan tersebut, jurulatih kelahiran Melaka itu berkata, jaringan enam gol membuktikan pasukan negara masih mempunyai penyudah berbisa.

Bagaimanapun katanya, pasukan tak boleh mengambil ia sebagai satu kepuasan dan perlu perlu bergerak lebih jauh daripada itu.

"Selepas ini, kita akan menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 dan seterusnya peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019. Di situ nanti akan kemampuan sebenar kita akan dinilai, terutama pada saingan peringkat kumpulan kelayakan yang akan bermula Mac tahun depan.

"Saya melihat barisan inilah sebagai tunjang utama pasukan yang kita ada buat masa ini. Sudah tentu apabila kita beraksi tiga perlawanan persahabatan nanti, saya dapat beri peluang beraksi lebih banyak kepada pemain-pemain lain. Dari situ nanti, kita boleh mendapat lebih pilihan di setiap posisi," katanya seperti dilaporkan laman sesawang FAM.