Wira bola sepak Nigeria, Perlis meninggal dunia
Arena bola sepak dunia kehilangan seorang lagi tokoh disegani, khususnya di benua Afrika.
Bekas pemain kebangsaan Nigeria, Stephen Keshi, 54, dilapor meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.
Bekas pemain pertahanan itu juga mempunyai hubungan secara langsung dengan dunia bola sepak Malaysia apabila pernah mewakili pasukan Perlis pada 1997.
Malah, skuad Singa Utara dikatakan pasukan terakhir diwakili sebelum mengakhiri kariernya sebagai pemain profesional.
Sebelum Perlis, Keshi mewakili 10 pasukan lain, antaranya New Nigeria Bank, Africa Sports, CCV Hydra dan Sacramento Scorpions di samping skuad kebangsaan Nigeria.
Dilahirkan pada 31 Januari 1961 di Bauchi State, Nigeria, Keshi dianggap sebagai pahlawan dengan kejayaanya membantu skuad kebangsaan menjulang Piala Afrika sebanyak dua kali.
Lebih istimewa, kejayaan itu diraih dalam dua keadaan berbeza, iaitu sebagai pemain dan jurulatih Nigeria.
Pada 1994, beliau merupakan kapten skuad Super Eagles ketika membatu pasukan menjuarai gelaran itu.
Dan selepas 19 tahun, Keshi membawa negaranya sekali lagi menjulang gelaran tersebut sebagai pengendali skuad kebangsaan.
Sepanjang karier sebagai jurulatih, Keshi berkesempatan membawa skuad Nigeria ke kejohanan Piala Afrika sebanyak tiga kali.
Malah pada 2014, anak didiknya berjaya melangkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia di Brazil.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Nigeria, Amaju Pinnick menyifatkan pemergian Keshi satu kehilangan besar buat negara itu.
"Khabar ini sangat menyedikan. Negara kehilangan seorang pahlawan," katanya seperti dilaporkan BBC.

