Penjaga gol Jerman teruja bergusti November ini
Bekas penjaga gol antarabangsa Jerman,Tim Wiese kini cuma selangkah lagi untuk mencapai impiannya selama ini - untuk menceburkan diri dalam dunia WWE secara rasmi.
Terbaru, laman rasmi WWE melaporkan Paul "Triple H" Levesque mempelawa Wiese untuk menyertainya di Kem Latihan WWE bertempat di Orlando, Florida.
Kata naib presiden eksekutif WWE itu Wiese adalah atlet yang gigih.
"Jika semua berjalan lancar di Florida nanti, Wiese akan mendapat peluang di gelanggang WWE seawal November depan.
"Ini adalah peluang terbaik buat Wiese membuktikan kehebatannya," kata Triple H.
Wiese, 34, memulakan kerjaya bola sepak dengan menyertai skuad remaja DJK Durscheid dan Bayer Leverkusen sebelum menjadi pemain profesional bersama Fortuna Koln.
Antara kelab pernah diwakilinya ialah Werder Bremen dan 1899 Hoffenheim sehingga 2014.
Wiese turut memuat naik pengesahan jemputan tersebut melalui laman Twitternya.
It's finally happening! @WWE pic.twitter.com/ZRRjss9Ce0
— Tim Wiese (@Tim_Wiese) June 7, 2016
Wiese sudah dikaitkan dengan WWE sejak penglibatannya sebagai tetamu khas penjaga masa WWE di Frankfurt pada 2014. Namun tiada pengesahan rasmi daripada kedua-dua pihak ketika itu.
Selepas mewakili Jerman pada Piala Dunia 2010 dan membantu Bremen ke tiga trofi sepanjang tujuh tahun bersama kelab Bundesliga itu, Wiese bersara pada 2014 untuk memulakan karier menjadi ahli gusti profesional.
"Saya amat teruja ketika ini. Saya telah bekerja keras menantikan peluang sebegini.
"Matlamat saya adalah untuk berada dalam gelangang WWE November ini. Saya benar-benar mahukan perlawanan itu!" kata Wiese.
WWE kini mula mengatur jadual untuk perlawanan siri jelajah terbaru Erorah yang bakal berlangsung di Jerman November depan.
Peluang itu dilihat sebagai tindakan tepat untuk memperkenalkan Weise sebagai ahli baru keluarga WWE memandangkan ianya bakal berlangsung di beberapa lokasi di sekitar Jerman.

