Pas percuma ziarah Muhammad Ali dijual
Sepatutnya pas masuk untuk majlis penghormatan terakhir atlet legenda Muhammad Ali diedarkan secara percuma.
Tidak ada sebarang niat untuk mengaut keuntungan atau mencari faedah material di sebalik upacara itu.
Namun ada sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menjual pas berkenaan kepada orang yang ingin melihat jasad petinju itu buat kali terakhir sebelum dikebumikan esok (waktu tempatan).
Media melaporkan beberapa jam sebelum pas masuk itu diedarkan di KFC Yum! Center di Louisville semalam, orang ramai mula berbaris panjang.
Ribuan pas masuk diedarkan atas dasar siapa cepat dia dapat.
Ketika diberitahu begitu ramai orang berbaris menunggu, balu Muhammad Ali, Lonnie, sekadar tersenyum.
"Ini kerja Muhammad Ali. Dia memang menikmati setiap detik peristiwa ini," katanya dipetik jurucakap keluarga itu, Bob Gunnell.
Sejurus kemudian, pas masuk ke dewan yang mempunyai 15,000 tempat duduk itu pun habis diedarkan. Ribuan orang terpaksa pulang dengan hampa.
Namun beberapa individu segera mengambil kesempatan menawarkan pas berkenaan dengan harga tertentu.
Ali mahu terbuka untuk semua
Sebahagian yang lain mencari laba dengan menjual pas itu secara atas talian.
Tindakan itu segera dikecam keluarga Muhammad Ali.
Kata Gunnell, sesiapa yang menjual pas masuk itu melakukan perkara keji.
"Sangat hina orang yang cuba mencari keuntungan di sebalik kesedihan kita kehilangan Muhammad Ali," katanya.
Menurut Gunnell orang ramai diharap tidak terpedaya dan menolak membeli pas berkenaan.
"Muhammad Ali mahu majlis ini diadakan tanpa bayaran, dan terbuka kepada sesiapa saja," katanya.
Difahamkan sepasang anak beranak yang memandu dari Chicago sanggup membelanjakan sehingga AS$50 untuk dua keping pas berkenaan.
Peminat dari California pula rela mengupah sesiapa saja sebanyak AS$50 untuk berbaris mendapatkan pas berkenaan.
Muhammad Ali menghembus nafas terakhir di sebuah hospital di Scottsdale, Arizona pada 3 Jun lalu selepas bertarung melawan penyakit Parkinson selama kira-kira tiga dekad.
Jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cave Hill esok. Antara tetamu yang akan hadir ialah bekas Presiden AS, Bill Clinton, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan pemerintan Jordan, Raja Abdullah II.
Antara tokoh yang akan mengusung keranda Muhammad Ali ialah pelakon Will Smith yang membawa watak petinju itu dalam filem Ali.

