Dua pemain Malaysia, Ivan Yuen dan Eain Yow Ng mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Klasik New Zealand selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan pusingan pertama di Squash Gym, Palmerston North, New Zealand hari ini.

Yow Ng, pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel Belia 2015 yang melepasi dua halangan dalam pusingan kelayakan, melakukan kejutan selepas menewaskan pilihan ketujuh, Joshua Larkin dari Australia, 8-11, 11-6, 11-8, 9-11 dan 12-10 semasa perlawanan pembukaan menurut lawan sesawang skuasy, www.squashsite.co.uk.

Beliau akan berhadapan pemain pilihan kedua Rex Hedrick dalam perlawanan suku akhir selepas pemain Australia itu mengetepikan pemain tuan rumah Evan Williams, 11-9, 11-5 dan 11-1.

Turut layak ke suku akhir, Ivan Yuen selepas beliau menewaskan pemain England, Ashley Davies 11-7, 11-5 dan 11-4.

Yuen bakal bertemu pemain pilihan kelima, Peter Creed selepas pemain Wales itu menewaskan pemain tuan rumah, Luke Jones 11-4, 11-3 dan 11-6.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain Malaysia, Mohd Syafiq Kamal gagal melangkah jauh selepas tewas 8-11, 6-11 dan 3-11 kepada pemain pilihan pertama Paul Coll dari New Zealand.

Berdasarkan kepada format kejohanan, pemenang pada perlawanan pembukaan melangkah terus ke suku akhir.

- Bernama