Memperkemaskan aspek taktikal dan corak permainan - itu dilakukan Datuk Ong Kim Swee dalam kem latihan selama tiga hari yang berlangsung di Brisbane, Australia ketika ini.

Persiapan itu diadakan menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa kelas "A" pertama dalam siri jelajah Oceania 2016 Harimau Malaysia.

Pasukan kebangsaan dijadual berdepan dengan Papua New Guinea Jumaat ini.

Sebaik tiba di Brisbane pada tengah hari Ahad lalu, ketua jurulatih bola sepak kebangsaan menumpukan latihan di Pusat Sukan dan Olahraga Queensland (QSAC) itu untuk memulihkan kecergasan pemain selepas mengharungi penerbangan hampir lapan jam dari Kuala Lumpur.

Kemudian sesi latihan pada Isnin dan semalam menyaksikan Kim Swee memberi fokus sepenuhnya kepada aspek taktikal.

Ia berlanjutan sehingga sesi latihan terakhir di Brisbane Grammar School, petang ini.

Untuk bertemu Papua New Gunea skuad Harimau Malaysia dijaualkan terbang ke Port Moresby pagi esok.

Mahu pasukan seimbang

Kim Swee berkata, pemain menunjukkan perkembangan positif apabila mereka menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan.

"Pada masa sama, kami mendapat tiga sesi latihan cukup baik di sini terutama dari segi taktikal.

"Paling mustahak, semua pemain dalam skuad kali ini harus memahami dengan sebaik mungkin corak permainan yang mahu saya terapkan," katanya seperti dilaporkan portal www.fam.org.my hari ini.

Sementara itu, jurulatih kelahiran Melaka itu turut membayangkan untuk memberi peluang kepada beberapa pemain yang tidak diturunkan pada dua perlawanan play-off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste pada 2 dan 6 Jun lalu.

"Seperti yang saya katakan, pemain-pemain yang tak beraksi sebelum ini akan diberi peluang dan mereka harus tahu apa tugas mereka apabila diturunkan bertemu Papua New Guinea.

"Saya mahu melihat mereka juga mampu beraksi sebaik mungkin sama seperti pemain-pemain yang diturunkan ketika kita bertemu Timor-Leste.

"Kita mahu keseimbangan dalam pasukan. Jika berlaku sesuatu kepada pemain-pemain utama, saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pengganti dalam pasukan," jelas Kim Swee.

Selepas pertemuan dengan Papua New Guinea yang berkedudukan ranking ke-193 dunia, skuad Harimau Malaysia - kini di ranking ke-173 - bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan aksi bertemu New Caledonia (ranking 183) di Noumea pada 22 Jun, dan Fiji (ranking 186) di Nadi pada 26 Jun.