Euro 2016: Rusia tersungkur 'diajar' Slovakia
Seri 1-1 bertemu England pada perlawanan pertama mereka sebelum ini, dan tertekan dengan kontroversi penyokong merusuh, malang terus tertimpa ke atas Rusia.
Sebentar tadi mereka tewas pula kepada Slovakia pada aksi kedua saingan kumpulan B Euro 2016.
Perlawanan di Stadium Stade Pierre Mauroy, Lille itu menyaksikan Slovakia mengintai harapan untuk melangkah ke peringkat seterusnya, manakala Rusia semakin tersepit selepas mengutip satu mata daripada dua perlawanan.
Kunci kemenangan Slovakia dilihat hasil keberkesanan perancangan teliti skuad bimbingan Jan Kozak, khususnya pada separuh masa pertama.
Walaupun tewas dari aspek penguasaan bola, Slovakia ternyata tampil lebih tajam.
Buktinya, dua rembatan tepat ke gawang Rusia dengan percubaan Marek Hamsik dan rakan-rakan sepasukan mampu menghasilkan jaringan.
Skuad julukan Slovenski Sokoli itu mencipta gol pertama melalui Vladimir Weiss pada minit ke-32.
Dari sisi kanan pertahanan lawan, Weiss berhasil melepasi dua pemain Rusia untuk membuka ruang dan peluang sebelum melakukan rembatan kencang ke kiri gawang Rusia.
Jasa Wiess tidak terhenti setakat itu, malah dia bijak memberi umpanan pendek daripada sepakan penjuru kepada Hamsik.
Penyerang Napoli itu terus melepaskan rembatan padu yang gagal ditangkis penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev pada minit ke-45.
Sementara itu, Rusia cuba bangkit di separuh masa kedua namun sekadar mampu merapatkan jurang jaringan pada minit ke-80 melalui Denis Glushakov.
Slovakia akan berdepan England pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan pada 21 Jun ini dan bakal menentukan kejayaan mereka ke peringkat kalah mati atau terkandas.

