Selepas bertahun-tahun memilih menjadi muslim dan menukar namanya kepada Muhammad Ali, akhbar terbitan tempat kelahirannya tetap berdegil.

Bagi akhbar harian The Courier-Journal yang diterbitkan di Louisville, mereka tetap merujuk petinju itu dengan nama lamanya - Cassius Clay.

Hanya selepas Muhammad Ali menghembus nafas terakhir - atau 50 tahun kemudian - barulah The Courier-Journal meminta maaf kerana terus menggunakan nama lama petinju berkenaan.

Nama Muhammad Ali muncul selepas dia menganut Islam pada 1964 namun The Courier-Journal masih tidak menggunakan panggilan itu secara tetap sehinggalah enam tahun kemudian.

Muhammad Ali meninggal dunia pada 3 Jun lalu selepas menderita penyakit Parkinson selama kira-kira 30 tahun. Ia dikaitkan dengan kesan trauma dialaminya ketika bertarung dalam gelanggang.

Dianggarkan kira-kira 100,000 orang berbaris di sepanjang jalan ditetapkan di Louisville untuk memberi penghormatan terakhir serta mengucap selamat jalan kepada Muhammad Ali sebelum dia dikebumikan pada Jumaat lalu.

Kononnya pejuang hak asasi

Kata Pengarang Eksekutif The Courier-Journal, Neil Budde, selama bertahun-tahun akhbar itu mengabaikan bagaimana petinju itu mahu dia dikenali sebagai Muhammad Ali.

"Kami tidak pernah pun cuba menjangkakan apa motif di sebalik tindakan pengarang The Courier-Journal ketika itu.

"The Courier-Journal memang antara pejuang awal hak-hak sivil dan menghapuskan diskriminasi, namun nampaknya kita mengambil pendekatan aneh untuk bermusuhan mengenai isu nama Ali, dan ia tidak banyak membantu memperbaiki hubungan antara kaum pada ketika ia bergelora," katanya dalam rencana pengarang akhbar berkenaan.

Namun The Courier-Journal bukanlah satu-satunya media AS yang terus mengabaikan nama Muhammad Ali.

Kata Budde pengarang The Courier-Journal berbincang mengenai cara terbaik untuk membuat laporan bermakna mengenai kematian Muhammad Ali.

Akhirnya mereka bersetuju untuk mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi - dan terbuka - atas tindakan pengurusan akhbar itu mengabaikan nama Muhammad Ali setengah abad lalu.