Turki, Albania cemas tilik nasib
Secara umum lapan pasukan teratas bagi setiap kumpulan A hingga D yang bersaing dalam kejohanan Euro 2016 di Perancis sudah diketahui bakal mara ke pusingan kalah mati.
Baki dua pasukan yang berebut dua tempat teratas bagi kumpulan E dan F akan diketahui awal pagi esok apabila perlawanan peringkat kumpulan melabuhkan tirainya.
Bagi kumpulan A, dua pasukan layak mara ialah Perancis dan Switzerland, manakala kumpulan B diwakili Wales dan England. Jerman dan Poland, serta Croatia bersama Sepanyol masing-masing mara mewakili kumpulan C dan D.
Untuk kumpulan E, Belgium sepatutnya tidak bermasalah untuk melangkah lebih jauh. Dengan mengumpul enam mata, seri menentang Sweden pada jam 3 pagi nanti (waktu Malaysia) memadai untuk mereka.
Jika ditakdirkan kalah pun Belgium yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang itu akan menduduki tempat ketiga, kecuali Iceland menumbangkan Austria pada perlawanan tengah malam nanti.
Sweden pula mesti menang jika mereka mahu melangkah ke kelompok 16 pasukan terbaik.
Itali pula selesa untuk berdepan pasukan Ireland. Seperti Sweden, Ireland mesti menang atau tersingkir daripada saingan peringkat seterusnya.
Bagi kumpulan F, di atas kertas Hungary sudah mara tetapi secara teknikal mereka boleh saja terhumban ke tempat ketiga selepas perlawanan menentang Portugal tengah malam ini.
Satu lagi pasukan yang mencabar dari kumpulan ini ialah Iceland. Jika seri menentang Austria Iceland mendapat tiga mata keseluruhan dan jaringan gol akan menjadi penentu nasib mereka di peringkat selanjutnya.
Sama juga keadaan Portugal. Seri menentang Hungary memberi satu mata tambahan kepada dua mata sedia ada pada skuad berkenaan.
Situasi lebih sukar untuk Austria yang mesti menang untuk memberi talian hayat kepada satu mata tunggal dimiliki mereka setakat ini.
Selain dua pasukan teratas setiap kumpulan, empat pasukan terbaik di kalangan tempat ketiga masih berharap mereka juga layak.
Selain Austria dan Iceland, turut menaruh harapan ialah Albania dan Turki.
Dua pasukan lain - yang menduduki tempat ketiga kumpulan masing-masing - sudah mengesahkan kelayakan mereka, iaitu Ireland Utara dan Slovakia.
Realitinya peluang Turki dilihat agak sukar - namun tidak mustahil - kerana faktor perbezaan jaringan. Peluang terbaik mereka ialah berharap pasukan tempat ketiga kumpulan E dan F menamatkan cabaran dengan maksimum dua mata saja.
Situasi sama dialami Albania, kecuali mereka berada di belakang Turki dari segi pungutan serta perbezaan gol.

