Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Ibrahimovic memang cakap tak berlapik
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 3:23 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

"Jika anda membeli Zlatan, anda sebenarnya membeli Ferrari," kata pemain antarabangsa Sweden Zlatan Ibrahimovic.

Ketika dia semakin hampir menjadi keluarga Manchester United secara rasmi, elok juga dilihat sepintas lalu siapakan pemain berusia 34 tahun itu.

Selain memiliki kemahiran bermain bola sepak yang tinggi, perwatakan Ibrahimovic tidak kurang pesonanya.

Memiliki ketinggian hampir 2 meter, turut tidak kalah ialah kata-katanya yang meninggi diri.

Keadaan itu tentu memeriahkan lagi suasana saingan EPL musim depan, dan lebih penting kem MU akan semakin berwarna-warni kerana pengurus mereka Jose Mourinho, tidak kalah celuparnya.

Ibrahimovic bakal meninggalkan kelab lamanya Paris Saint-Germain dan dijangka berada di England bersama pasangannya Helena Seger, 45, seorang ahli perniagaan

Perkongsian hidup mereka menghasilkan dua anak, Maximilian, 10, dan Vincent, 8.

Berikut antara petikan kata-kata Ibrahimovic:

Ketika dilaporkan membeli sebuah kereta Porsche, dia menjawab: "Sudah tentu tidak. Saya sudah memesan sebuah kapal terbang, ia lebih laju."

Ditanya pandangan tentang dirinya, Ibrahimovic berkata: "Saya tak boleh menahan diri daripada ketawa melihat betapa sempurnanya saya."

Mengenai kegagalan Sweden melangkah ke Piala Dunia di Brazil pada 2014: "Apa yang pasti, tidak berbaloi menonton Piala Dunia tanpa kelibat Zlatan Ibrahimovic."

Dia hampir-hampir menyertai Arsenal namun seperti amalan lazim Arsene Wenger mahu pemain baru melakukan pemantauan. Kata Ibrahimovic: "Zlatan tak lakukan uji bakat."

Bekas penyerang Norway, John Carew pernah berkata sesetengah kemahiran dimiliki Ibrahimovic tidak berfaedah di padang. Ini respon Ibrahimovic: "Apa yang Carew buat dengan bola, saya boleh lakukan pada sebiji oren."

Ditanya apakah hadiah yang sesuai diberi kepada pasangan hidupnya, Helena, Ibrahimovic berkata: "Tak ada apa. Dia sudah ada Zlatan."

Suatu ketika dia mencari tempat tinggal baru di Paris. Apabila kediaman sesuai belum ditemui, Ibrahimovic berkata: "Kami mencari seunit apartmen, tapi kalau tak jumpa saya mungkin membeli sebuah hotel."

"Mula-mula saya ke kiri, dia bergerak ke kiri. Kemudian saya ke kanan, dia juga ke kanan. Saya ke kiri semula dan dia berlari membeli hotdog," itu komen Ibrahimovic mengenai bekas pemain pertahanan Liverpool Stephane Henchoz.

Suatu ketika Ibrahimovic ditanya wartawan mengenai ramalannya tentang Piala Dunia.
Wartawan: Siapa akan memenangi Piala Dunia?
Ibrahimovic: Entah, hanya tuhan yang tahu.
Wartawan: Susahnya nak bercakap dengan dia...
Ibrahimovic: Mengapa? Sekarang kamu bercakap dengan dialah!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS