Antonio Conte mendedahkan sepanjang tempoh dua tahun dia mengendaikan skuad kebangsaan Itali dia tidak mendapat sokongan sepatutnya sebagai pengurus pasukan.

Sambil memuji pemain Itali yang memberikan segala kudrat untuk memenangi perlawanan suku akhir Euro malam tadi, Conte mendakwa media dan liga Serie A tidak banyak membantunya.

"Saya tak nampa sesiapa bersama saya - media atau sesiapa. Nampaknya saya bersendirian menghadapi semua pihak sedangkan apa yang saya buat demi kepentingan skuad Itali, bukan diri sendiri," katanya selepas perlawanan awal pagi tadi.

Langkah Itali pada kejohanan Euro kali ini tersekat selepas mereka kalah dalam penentuan sepakan penalti 5-6 dengan Jerman.

Ia adalah kekalahan pertama Itali kepada Jerman dalam kejohanan utama dunia.

Pengakhiran cabaran Itali itu juga bermakna masa Conte bersama skuad kebangsaan negaranya tamat selepas memulakannya pada 2014.

Conte bakal mencurahkan kemahirannya di England pula melalui saingan EPL apabila dia dilantik menjadi pengurus Chelsea.

Enggan ubah tarikh

Kata Conte, 46, jika diminta bercakap jujur dia mengakui tidak mendapat sokongan daripada sesiapa pun.

"Presiden Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) memang sentiasa di pihak saya, cuma banyak keputusan liga Itali tidak memihak saya. Ia memalukan," katanya.

Antara isu yang menyukarkan Conte ialah kedegilan pengurusan Serie A menukar tarikh perlawanan akhir Coppa Italia untuk membolehkan dia mengumpul pemain kebangsaan untuk menghadapi Euro di Perancis kali ini.

Presiden FIGC Carlo Tavecchio menyokong permintaan berbulan-bulan dibuat Conte namun ia tidak diganjak juga.

Final Coppa Italia mempertemukan Juventus dan AC Milan diteruskan pada 21 Mei, menyebabkan Conte membuat perancangan dan persediaan latihan tanpa tujuh pemain utamanya.

Namun secara keseluruhan Conte berkata dia seronok menjadi pengurus Itali, dan pada masa sama teruja juga memulakan tugasnya di Stamford Bridge.

"Kini saya ada tujuh hari untuk berehat dan cuba melupakan sebahagian kekecewaan ini sebelum mula bertugas bersama Chelsea.

"Saya tahu ia sukar tetapi cabaran begitulah yang saya tunggu," katanya.