Pemain Wales melompat meraikan kekalahan England dan bagi pengurus Iceland, dia mengaku seronok berjaya menjadikan skuad The Three Lions bahan jenaka seluru dunia.

Heimir Hallgrimsson dan rakan sejawatannya Lars Lagerbanck dilihat ketawa ketika Kolbeinn Sigthorsson menjaringkan gol kedua Iceland di minit ke-18 pada 28 Jun lalu.

Namun Hallgrimsson segera menjelaskan ia sekadar luahan rasa lega.

"Sebelum perlawanan kami sedar hakikat bahawa jika gawang kami bolos awal, ia adalah mimpi paling ngeri untuk Iceland," katanya.

Pada perlawanan itu England menjaringkan gol pada minit kedua melalui sepakan penalti kapten pasukan Wayne Rooney.

Turun dengan imej sebagai pasukan gergasi, bagaimanapun gol Rooney itu sajalah yang berjaya dijaringkan England, sebaliknya Iceland membalas dengan dua gol.

Sebelum jaringan Sigthorsson, Ragnar Sigurdsson terlebih dulu menyamakan kedudukan dengan jaringan pada minit keenamnya.

Dapat semangat Leicester

Hallgrimsson - seorang doktor gigi - berkata jaringan Rooney itu adalah kejutan amat dahsyat untuk Iceland.

Cuma katanya Iceland berjaya memberikan kejutan lebih dahsyat apabila berjaya membalas jaringan hanya kira-kira dua minit selepas Rooney menjaringkan gol.

"Tak ada apa-apa yang istimewa tentang gelak ketawa kami, sekadar rasa seronok," katanya.

Lebih daripada itu gol berkenaan menghantar England mengemas barangan mereka lebih awal untuk pulang, manakala cabaran Iceland berlanjutan.

Penguru England Roy Hodgson pula meletak jawatan.

Iceland akan bertemu pasukan tuan rumah, Perancis, pada perlawanan suku akhir jam 3 pagi nanti.

Kata Hallgrimsson kemenangan mereka juga meletakkan Iceland di tempat tersendiri sekali gus mengubah pandangan dunia terhadap mereka.

"Kami mendapat semangat daripada kejayaan Leicester City di EPL pada musim lalu dan menjadikan mereka sebagai peneguh semangat.

"Saya rasa ada persamaan antara Iceland dan Leicester iaitu kerjasama berpasukan," katanya.