Tiga mata dikutip Felda United ketika menewaskan Negeri Sembilan 3-1 dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia malam tadi, belum cukup menggembirakan pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim.

Sebaliknya, Irfan berkata beliau mengenal pasti beberapa kekurangan sehingga pasukannya gagal beraksi pada tahap kemampuan sebenar ketika bertemu lawan di Stadium Tun Razak, Jengka.

Irfan berkata anak buahnya masih lemah dari segi hantaran, tidak berani mengawal bola dan kurang pantas.

Namun beliau percaya selepas beberapa perlawanan yang akan diharungi, pemain mampu menemui semula rentak mereka.

"Ini adalah aksi pertama dan tiga mata yang dikutip amat penting walaupun kami tidak bermain dengan begitu memberangsangkan.

"Ia kerana perlawanan ini adalah aksi pertama Felda United selepas berehat tujuh minggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi D Christie Jayaseelan pada minit ke-26, sebelum penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe menambah jaringan pada minit ke-54 dan 70, manakala gol sagu hati pelawat dijaringkan Annas Rahmat pada minit ke-64.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Gary Michael Philips berkata pasukannya dihukum hasil beberapa kesilapan sepanjang perlawanan berkenaan.

"Kami tidak bermain dengan cemerlang dan gol pertama lawan diperoleh akibat kecuaian pemain Negeri Sembilan sendiri.

"Felda United diakui adalah pasukan yang kuat tetapi saya dapati skuad kami masih mampu mencipta beberapa peluang walaupun gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Kesimpulannya, kami perlu belajar daripada kesilapan dan mempamerkan aksi yang lebih bagus pada perlawanan seterusnya," katanya.

-Bernama