FAM terus menerima asakan berkaitan mutu pasukan kebangsaan dan masalah pengurusannya.

Jika semalam pemiliknya mendakwa mempunyai bukti 30 tahun amalan rasuah melibatkan FAM, JDT pula hari ini menyenaraikan 24 kelemahan Harimau Malaysia dan pentadbir bola negara.

Di Facebook rasminya Johor Southern Tigers, JDT menyenaraikan masalah-masalah itu yang digelarkannya sebagai “halaman 3.1.2.1 dan 3.1.2.2” daripada sumber dalaman FAM sendiri.

Sumber itu juga, kata JDT, datang daripada “satu organisasi tertinggi yang masih sayangkan bola sepak Malaysia”.

JDT antaranya mendakwa FAM tidak pernah serius terhadap skandal mengatur perlawanan, membuat perbelanjaan tidak perlu tanpa analisis dan wang Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia  (FMLLP) tidak digunakan dengan betul.

Dalam kes mengatur perlawanan, JDT mendakwa sesetengah kakitangan dalam FAM adalah sahabat kepada bekas pemain kebangsaan yang terlibat dalam mengatur perlawanan.

Namun, tiada penjelasan mengenai butiran yang didedahkan itu sama ada sebahagian daripada dakwaan rasuah FAM yang dimiliki Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim disimpan dalam satu pendrive.

"Halaman 3.1.2.1 dan 3.1.2.2” yang dirujuk itu juga tidak jelas daripada dokumen apa.

JDT melalui Pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mendakwa berlaku amalan rasuah berpanjangan dalam FAM, sehingga 30 tahun.

Beliau mendakwa mempunyai butiran lanjut, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa “merepek”.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan TMJ memiliki maklumat berkaitan aktiviti rasuah melibatkan badan induk bola sepak negara itu.

Pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, beliau berkata akan menghubungi TMJ berhubung isu itu.

Sementara itu, Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada pihak JDT, FAM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan isu tersebut.

 

Berikut beberapa maklumat yang terdapat dalam halaman 3.1.2.1 dan 3.1.2.2 yang disiarkan JDT dan yang dicetak dari sumber dalamam FAM dan salah satu organisasi tertinggi yang masih sayangkan bola sepak Malaysia:

  • Kualiti kejurulatihan dan jurulatih tidak memuaskan dan terlalu banyak bereksperimen dalam pemilihan pemain termasuk isu perpaduan di kalangan, jurulatih dan pasukan teknikal.
  • Jurulatih tempatan (merujuk Datuk Ong Kim Swee) kurang pendedahan antarabangsa, jurulatih di peringkat remaja yang tidak mempunyai kemampuan dan kualiti untuk membangunkan pemain dengan cara yang holistik.
  • Sekolah adalah kilang untuk menghasilkan pemain tetapi tiada padang bola sepak, tiada guru-guru yang berdedikasi di sekolah dan 80 peratus guru adalah kaum wanita.
  • Perlawanan dimanipulasi dan masalah mengatur perlawanan tidak ditangani, FAM tidak mengambil berat tentang masalah mengatur perlawanan kerana sesetengah kakitangan didalam FAM adalah sahabat kepada bekas pemain kebangsaan yang terlibat.
  • FAM menggunakan kaedah lama dalam pengurusan bolasepak, pentadbiran kekurangan kakitangan yang berkualiti dan terlalu lambat dalam pembangunan
  • Gaji jurulatih tempatan dan jurulatih pasukan kebangsaan terlalu tinggi
  • Tidak pernah mengambil serius skandal mengatur perlawanan
  • Wang dalam FMLLP tidak digunakan dengan betul kerana kepentingan hanya diberikan kepada pihak pengurusan bukan kepada kelab-kelab yang bertanding.