Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pasukan tuan rumah, Sarawak melaungkan amaran awal untuk muncul juara keseluruhan apabila meraih pingat emas pertama temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di sini menerusi Taekwondo selepas menjuarai acara poomsae pasangan campuran.

Pasangan Augustine Rudy Grocer/ Nurul Hidayah Abdul Karim mengumpul sejumlah 7.37 mata dalam pusingan akhir di Stadium Perpaduan, Kuching.

Pada pusingan yang menyaksikan saingan sengit daripada lapan pasangan terbaik, gandingan itu mengumpul 7.38 mata untuk pyongwon dan 7.36 mata bagi pertunjukan taegeuk 8.

"Kami sangat gembira dan bersyukur kerana dapat meraih pingat emas pertama buat Sarawak. Kami tidak sangka yang kami akan muncul juara," kata pasangan itu yang mula bergandingan sejak 2013, selepas upacara penyampaian hadiah.

Pingat perak menjadi milik gandingan Chew Pek Wen/Brian Yam Ju Sheng dari Selangor yang mendapat 7.16 mata.

Gangsa pula dikongsi Chua Jia Xuan/Clara Tan Xin Yu dari Johor dan Lay Yi Chong/Cheong Pui Kei dari Negeri Sembilan yang masing-masing meraih 7.11 dan 6.96 mata.

Pasangan Lay/Cheong yang berkongsi 6.96 mata dengan gandingan Hyde Nachman Hijium/Hyde Nathania Hijium dari Brunei, dipilih memenangi gangsa kerana kutipan mata yang lebih tinggi bagi taegeuk 8.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Puan Sri Jamilah Anu, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.


-Bernama

Lihat Komen
ADS