Pengurus Sunderland, Sam Allardyce, disebut-sebut bakal diletakkan ke kerusi panas untuk mengemudi skuad kebangsaan England bagi menggantikan Roy Hodgson yang meletak jawatan baru-baru ini.
Akhbar Britain melaporkan Allardyce bakal diberikan tugasan mempersiapkan pasukan England menghadapi cabaran Piala Dunia 2018.
Sebelum ini Hodgson meletak jawatan susulan kekalahan England kepada Iceland dalam saingan 16 terakhir Euro 2016 lalu.
Allardyce, 61, berkhidmat sebagai pengurus di Sunderland sejak Oktober lalu dan berjaya menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke liga bawahan pada musim lalu.
Media melaporkan Allardyce merupakan calon pilihan dan akan dinamakan secara rasmi semasa menyuarat Ahli Lembaga Persatuan Bolasepak Inggeris esok.
Digelar sebagai 'Big Sam', Allardyce adalah calon pilihan kira-kira sedekad lalu selepas Sven-Goran Eriksson meninggalkan skuad England pada 2006 tetapi jawatan itu akhirnya diberikan kepada Steve McLaren.
Selain itu Pengurus Hull City, Steve Bruce turut ditemu duga untuk jawatan berkenaan.
Media British pula melaporkan FA Inggeris berhubung dengan Pengurus Bournemouth, Eddie Howe.
Sementara itu, Sunderland dalam kenyataan kepada media menyatakan kekecewaan mereka dengan situasi tersebut.
"Kami menyedari spekulasi media mengenainya. Bagaimanapun, Sam Allardyce akan kekal sebagai pengurus Sunderland buat masa ini," kata kelab itu.
