Boon Siew Honda hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam sebarang kempen atau permohonan bagi mendapatkan sokongan kewangan tambahan pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi.

Dalam satu kenyataan, Boon Siew Honda menjelaskan bahawa Khairul Idham adalah pelumba kontrak Honda, justeru, segala perbelanjaan, perancangan perjalanan karier dan urusan penajaan adalah di bawah tanggungjawab pihak mereka.

"Kami tidak terlibat dan ingin menjelaskan bahawa mana-mana kempen ataupun permohonan sokongan kewangan tambahan yang mendapat liputan ketika ini adalah untuk membiayai perbelanjaan yang difikirkan perlu oleh pihak keluarga Khairul seperti kos bagi 'pengiring'," katanya.

Menurut Boon Siew Honda, segala perbelanjaan berkaitan karier Khairul Idham atau dikenali sebagai 'Super KIP' termasuk tiket penerbangan, penginapan, makanan, gaji bulanan dan lain-lain perbelanjaan berkaitan adalah ditanggung oleh pihak Honda.

Selain itu, perancangan perjalanan jangka masa panjang karier Khairul Idham untuk ke peringkat lebih tinggi di peringkat antarabangsa juga telah tersedia malah Boon Siew Honda juga bertindak mendapatkan penajaan peribadi pelumba negara itu dengan menawarkan penajaan tambahan seperti menandatangani penajaan bersama Redbull, baru-baru ini.

Khairul Idham, 17, melakar sejarah sukan permotoran negara apabila meraih kejuaraan di Jerman baru-baru ini, yang juga merupakan kejayaan podium kedua beliau selepas menang di Argentina.

Menurut laporan media, berikutan kejayaan di Jerman tiga hari lepas, bapa pelumba negara itu, Pawi Omar meluahkan rasa terkilan berikutan tiada pihak membantu membiayai kos pegawai pengiring untuk Khairul Idham.

Malah, katanya sehingga kini, mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi melancarkan karier anaknya termasuk membiayai pegawai pengiring yang menjaga pelumba negara itu.

Pawi berkata pihaknya memerlukan dana sebanyak RM200,000 untuk urusan itu dan amat berharap kemenangan kali ini dapat membuka mata lebih banyak pihak.

Dalam pada itu, semalam Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut menjelaskan bahawa kementeriannya telah meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM100,000 untuk membantu karier pelumba negara itu.

Namun, katanya, peruntukan yang diluluskan bulan lepas tidak dapat diserahkan selepas Khairul Idham gagal memberikan nomborakaun bank dan beberapa dokuman yang diperlukan.

-Bernama