Khabar-khabar angin menyatakan Manchester United menyimpan jersi nombor 6 kelab itu khusus untuk pemain yang sedang dipancing mereka dari Juventus. Paul Pogba.

Setakat ini nombor jersi yang sudah diketahui ialah 11 untuk Anthony Martial, Adnan Januzaj mendapat nombor 15, manakala Juan Mata serta Wayne Rooney kekal dengan jersi terdahulu iaitu masing-masing 8 dan 10.

Jersi nombor 9 yang sebelum ini disarung Martial sudah dimiliki ayam tambatan terbaru The Red Devils, Zlatan Ibrahimovic.

Dua lagi pemain baru MU - Eric Bailly dan Henrikh Mkhitaryan - bakal menyarung jersi nombor 3 dan 22.

Bagaimanapun tanpa pemain khusus bakal menyarung jersi nombor 6, kelibat Pogba di Old Trafford masih belum disahkan.

Malah ejen pemain Perancis itu turut menafikan laporan mendakwa Pogba, 23, akan berhijrah dengan rekod baru yuran perpindahan pemain di EPL.

Sebelum ini MU dilaporkan bersedia menawarkan £86 juta (RM462 juta) untuk membawa Pogba ke Old Trafford namun ia ditolak oleh kelab juara Serie A itu.

Bagaimanapun Pengurus MU Jose Mourinho dijangka akan membuat tawaran lebih menggiurkan untuk Juventus bagi mengimbangi permintaan £100 juta (RM537.3 juta) daripada kelab Itali itu.

Kata ejen Pogba, Mino Raiola, setakat ini belum ada sebarang perjanjian dipersetujui antara MU dan Juventus.

"Cuma yang banyak bla, bla, bla, bla," katanya di Twitter.

Masa hingga akhir Ogos

Walau apa pun jika Juventus bersetuju melepaskan Pogba, ia bakal memadamkan rekod perpindahan tertinggi dunia yang kini dimiliki Gareth Bale ketika dia berhijhar ke Real Madrid pada 2013.

Bale meninggalkan kelab lamanya Tottenham Hotspur selepas kelab gergasi Sepanyol itu bersetuju membuat bayaran bernilai £85 juta (RM456.7 juta).

Mourinho pula mengakui dia memerlukan satu lagi pemain baru sebelum musim EPL bermula bulan depan.

"Saya tidak mengesahkan atau menafikan (akan mendapat khidmat Pogba)," katanya kepada media di Shanghai, China.

Mourinho dan MU berada di negara itu untuk menyertai perlawanan pramusim.

"Saya tidak fikir sesuai untuk kita bercakap tentang pemain kelab lain. Dia (Pogba) pemain Juventus dan bukan MU.

"Apa yang boleh saya beritahu anda ialah, lembaga pengarah, pengarah kelab saya bekerja dengan cemerlang dengan memberikan 75 peratus daripada apa yang saya mahukan.

"Saya minta mereka bawa empat pemain. Atau lebih tepat, saya minta empat atau lima pemain yang saya perlukan. Saya ada (Zlatan) Ibrahimovic, (Henrikh) Mikitharyan dan (Eric) Bailly.

"Mereka perlu selesaikan 25 peratus lagi sebelum 31 Ogos ini," katanya.