Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos tahun depan
Penganjuran temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan Sukan Para Asean masing-masing ditetapkan pada 19 hingga 31 Ogos dan 17 hingga 23 September tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kedua-dua temasya dwitahunan itu akan dikenali dengan jenama KL2017 bagi menunjukkan identiti kebersamaan.
Malaysia mencadangkan untuk menggabungkan penganjuran kedua-dua temasya itu namun ia tidak diterima oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada mesyuaratnya di Kuala Lumpur minggu lepas.
"Walaupun kami kecewa sebagai negara tuan rumah kerana SEAGF tidak mempamerkan visi dan keberanian untuk melakukan sesuatu yang baru dan luar biasa, kami menghormati keputusan yang dibuat.
"Malaysia juga akan memastikan temasya Sukan SEA dan Sukan Para Asean tetap berlangsung dengan gilang-gemilang," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.
Khairy berkata Malaysia mahu menggabungkan dua temasya sukan itu kerana ia bertepatan dengan tema kebersamaan iaitu 'Bangkit Bersama'.
Beliau menjelaskan Sekretariat Jawatankuasa Pengelola temasya (MASOC) telah melakukan kajian terperinci berhubung penganjuran serentak itu dan mendapati tiada sebab dari segi teknikal dan logistik ia tidak boleh dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata pihaknya telah menerima 54,000 pendaftaran sebagai sukarelawan KL2017 namun, hanya 12,000 saja yang melengkapkan borang rasmi pendaftaran.
Kerajaan menyasarkan 20,000 sukarelawan bagi KL2017.
Mengenai kerja-kerja penambahbaikan Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, beliau berkata ia masih giat dijalankan walaupun Malaysia tidak menampilkan kemudahan baru seperti temasya di Myanmar pada 2013 dan Singapura pada 2015.
"Saya percaya penambahbaikan terhadap kemudahan sedia ada akan memperlihatkan venue yang ikonik untuk peserta dan penonton," katanya.
- Bernama

