Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Saya akan selesaikan sendiri isu ini'
Diterbitkan:  Jul 22, 2016 7:02 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Tengku Mahkota Johor membayangkan beliau mahu menyelesaikan isu dakwaan rasuah dalam FAM dengan caranya sendiri.

Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyatakan kesediaan menyiasat dakwaan itu Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, masih banyak lagi kes besar di negara ini yang belum mampu diselesaikan agensi berkenaan.

Justeru kata Tunku Ismail lebih baik SPRM memberikan tumpuan kepada kes-kes berkenaan.

"Maklumat di dalam pendrive (pemacu kilat) ini adalah hak milik saya. Saya sendiri akan selesaikan isu ini dan sekiranya saya mahu pertolongan SPRM, saya sendiri yang akan memanggil SPRM," katanya dalam status dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Malaysiakini pada 18 Julai lalu melaporkan Tunku Ismail mendakwa memiliki maklumat mengenai amalan rasuah berpanjangan dalam FAM.

Antara maklumat diperoleh beliau ialah mengenai ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia serta laporan audit yang “merepek”.

Kata Tunku Ismail pemacu kilat itu diberikan kepadanya oleh "sahabat-sahabat" beliau yang "berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur".

Kata Tunku Ismail SPRM juga kellihatan seperti "begitu terhegeh-hegeh hendak menyiasat FAM".

Namun beliau melontarkan soalan kepada agensi antirasuah itu: "Adakah anda mahu menyiasat atau lebih hendak tahu siapa yang memberi maklumat kepada saya?".

Tunku Ismail juga berpendapat hal berkenaan tidak perlu dihebohkan, manakala pihak yang tidak berkenaan diminta "duduk diam-diam" saja dan menyelesaikan "masalah dan hutang masing-masing".

"Masalah FAM ialah terlalu ramai pejuang (untuk) FAM di luar FAM," katanya.

Buat masa ini, katanya, beliau akan menyelesaikan isu berkenaan dengan "pihak tertentu".

Lihat Komen
ADS