Rambut baru Messi jadi tumpuan, ejekan
Bintang bola sepak Argentina itu sekali lagi menjadi tumpuan, namun kali ini bukan disebabkan tuduhan penipuan cukai tetapi kali ini kerana penampilan rambut barunya.
Penyerang berbisa Barcelona itu muncul dan segera menarik perhatian ramai ekoran rambutnya kini berwarna perang.
Gambar itu dimuat naik isteri Messi, Antonella Roccuzzo di laman Instagram.
Penampilan itu memperlihatkan Messi mengikut fesyen rambut pemain Arsenal, Aaron Ramsey, ketika dia mewakili negaranya, Wales, di Euro 2016 lalu.
Tidak sampai sejam gambar itu dimuat naik, lebih 4,000 peminat memberi pelbagai komen - termasuk mengejek - terhadap penampilan Messi itu.
Antara pihak yang menyiar ulang gambar itu adalah Twitter penyokong Arsenal.
GTA Tactics xD pic.twitter.com/di69i0nBe9
— Troll Football (@TrollFootball) July 24, 2016
Mewarnakan rambut dengan perang itu dilihat semakin menjadi trend di kalangan pemain bola sepak.
Selepas Ramsey, fesyen itu turut menjadi pilihan pemain pertahanan Manchester United, Phil Jones dan penyerang Real Madrid James Rodriguez.
Messi sebelum ini mengejutkan peminatnya selepas mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan Argentina apabila gagal membawa pasukan itu meraih gelaran juara Copa America 2016.
Kemudian pemain berusia 29 tahun itu disabitkan dengan kesalahan menipu cukai oleh mahkamah dan dihukum penjara 21 bulan.
Turut disabitkan kesalahan itu ialah bapanya, Jorge Messi.
Melalui pertuduhan itu anak beranak Messi terbabit didakwa gagal membayar £3.4 juta (RM17.6 juta) cukai atas hak penggunaan imej penyerang berbisa itu.
Bagaimanapun kedua-dua mereka terlepas daripada kurungan penjara kerana mengikut undang-undang Sepanyol pelaksanaan hukuman kurang daripada dua tahun - dan ia adalah kesalahan pertama - akan digantung.
Anak beranak Messi itu mengaku tidak bersalah.
Sebagai hujah membela diri di mahkamah Messi berkata dia langsung tidak tahu menahu mengenai isu cukai berkenaan kerana sepanjang masa dia hanya "memikirkan tentang bola sepak".
Dia kini sedang menghabiskan waktu cuti bersama keluarga sebelum musim baru liga bermula.

