Mampukah Badrul, Khairul Hafiz atasi rekod Watson?

       

Acara olahraga Sukan Malaysia (Sukma) akan bermula esok dan tumpuan utama pasti bukan setakat siapa yang akan memiliki gelaran Raja Pecut, sebaliknya mampukah rekod kebangsaan 100 meter dipecahkan.

Ketika ini saingan acara riben biru itu pasti tertumpu kepada dua atlet Melaka iaitu Raja Pecut Sukan Sekolah ASEAN, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan yang mara ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia di Poland minggu lalu.

Harapan sememangnya tinggi untuk salah seorang daripada mereka memecahkan rekod 18 tahun milik Watson Nyambek di negeri kelahiran bekas jaguh pecut negara itu, di mana peringkat separuh akhir 100m akan bermula Rabu ini.

Badrul Hisyam, 19, pernah mencatat 10.29 saat, 0.01s lebih pantas daripada rekod Watson pada 10.30s di Sukan Sekolah ASEAN di Brunei, Nov lepas tetapi ia tidak diiktiraf sebagai rekod baru berikutan masalah teknikal dan kealpaan penganjur.

Ketika itu penganjur tidak meletakkan alat pengukur angin pada kedudukan 50m selain gagal menyediakan peralatan photo-finish.

Namun ketika ini, prestasi Khairul Hafiz berada di kemuncak. Beliau mencatatkan 10.36s di Kejohanan Remaja Asia di Ho Chi Minh bulan lepas untuk pingat emas sulung negara dalam acara 100m, manakala Badrul Hisyam sekadar di kedudukan kelima dengan 10.54s.

Malah di Poland minggu lepas, Khairul Hafiz mara ke separuh akhir selepas mencatat 10.44s di peringkat saringan, sebelum terlepas peluang ke final apabila sekadar melakukan 10.58s.

Badrul Hisyam pula gagal melepasi peringkat saringan apabila hanya mencatat 10.66s.

Selain mereka berdua, cabaran atlet tuan rumah Jonathan Nyepa yang baru menjuarai acara 100m Sukan Universiti ASEAN di Singapura dengan 10.62s minggu lalu, tidak boleh diketepikan kerana pastinya akan mendapat sokongan padu penonton tempatan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berharap semua atlet akan memberikan aksi terbaik agar terpilih dalam Program Kita Juara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

"Ini bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak pendedahan selepas ini. Bagi Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz, saya berharap mereka mampu memecahkan rekod kebangsaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ketua Teknikal Olahraga Sukma, R. Govindaraju memberi jaminan tidak akan berlaku kesilapan seperti di Brunei apabila acara olahraga bermula di Stadium Sarawak, Komplek Sukan Petra Jaya di sini esok.

"Sasaran kami adalah untuk menganjurkan acara ini mengikut masa yang ditetap, tanpa aduan, bantahan atau isu teknikal. Semua peralatan yang digunakan diiktiraf Persekutuan Olahraga Antarabanga (IAAF).

"Saya telah melakukan ujian dan semuanya dalam keadaan baik. Peralatan lengkap dengan photo finish, alat mengukur angin dan mesin peranti elektronik (EDC)," kata Govindaraju yang juga anggota Majlis KOM apabila ditemui Bernama.

Sebanyak 45 pingat emas ditawarkan sepanjang empat hari acara olahraga dilangsungkan iaitu 23 untuk lelaki dan 22 bagi wanita.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.