"Terdapat banyak penyalahgunaan dana dan perbelanjaan yang tidak perlu dalam FAM," kata pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas bertemu Bendahari FAM, Datuk Seri Norza Zakaria hari ini.

Kata Tengku Mahkota Johor itu pertemuan berkenaan berjalan dengan lancar dan beliau diberi taklimat mengenai laporan kewangan badan induk bola sepak negara oleh Norza.

Daripada penjelasan itu kata Tunku Ismail beliau berpendapat banyak penyalahgunaan dana dan perbelanjaan tidak perlu berlaku FAM.

"Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Mereka mengaku dan terima (bahawa) terdapat banyak perkara yang perlu diperbetulkan dalam FAM dan sesetengah individu bertanggungjawab perlu berundur," katanya dalam wawancara disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers, malam ini.

Tunku Ismail pada 18 Julai lalu mendakwa amalan rasuah berpanjangan berlaku dalam FAM sejak 30 tahun lalu.

Beliau juga mendakwa mempunyai butiran lanjut berhubung dakwaan berkenaan, termasuk mengenai ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa “merepek”.

Beberapa hari lagi beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

"Saya beri jaminan kepada semua penyokong bahawa saya akan sentiasa jujur dan telus. Anda semua boleh bertanya kepada saya apa-apa jua perkara berkaitan isu-isu semasa sewaktu sesi soal jawab saya bersama penyokong," ujarnya.