Ketiadaan tonggak rencat percaturan skuad Penyu
Ketiadaan beberapa tonggak akibat masalah kecederaan merencatkan percaturan pasukan Terengganu dalam aksi Liga Super malam tadi apabila tewas di tangan PDRM 0-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pengendalinya Mustafa Kamal Abd Wahab berkata walaupun mempunyai pemain lain namun kehilangan pemain senior dan berpengalaman seperti Ismail Faruqi Ashari, Mohd Sharbinee Allawee dan Gustavo Lopez sedikit mencacatkan percaturan.
Katanya, beliau terpaksa menukar strategi dan melakukan penggantian pemain bagi mengisi kekosongan seterusnya menguatkan pasukan.
"Kami melakukan yang terbaik namun nasib masih belum menyebelahi Skuad Penyu dengan keciciran mata dan makin jatuh dari carta liga," katanya kepada pemberita, di sini.
Gol pertama Pasukan PDRM hadir pada minit ke-58 menerusi Muhd Safuwan Baharudin dan gol kedua diperoleh menerusi jaringan penyerang import, Guilherme Depaula di minit ke-66.
Mustafa Kamal berharap pasukannya mampu bangkit dan dapat mengumpul mata bagi mengelak berada di tangga tercorot liga menerusi baki tujuh perlawanan yang masih ada.
Untuk rekod, Terengganu kini menghuni tangga kesembilan selepas mengumpul 16 mata menerusi 15 perlawanan.
Sementara itu, pengendali PDRM Mohd Fauzi Pilus berkata kemenangan pasukan itu ke atas skuad Penyu membantu pasukan itu melonjak ke tangga ketujuh carta.
Mohd Fauzi berkata tiga mata itu amat berharga untuk pasukannya bagi mengelak berada di zon penyingkiran.
"Walaupun pemain agak letih namun mereka tetap memberikan komitmen. Kemenangan ini amat membantu kami dan dua gol itu sangat berharga untuk melonjakkan pasukan daripada menghuni tangga tercorot liga sebelum ini," katanya kepada pemberita, di sini.
Jelasnya gol pertama itu menyuntik semangat anak didiknya untuk memastikan kemenangan terus menjadi milik mereka.
Mohd Fauzi berkata pasukannya juga terpaksa mencari formula bagi memastikan pemain mendapat rehat yang cukup sekali gus menggelakkan daripada kecederaan.
Beliau turut mengingatkan anak didiknya supaya terus fokus dan tidak hilang tumpuan dalam baki perlawanan yang ada bagi mengelakkan kehilangan mata.
"Kami selalu pesan kepada mereka supaya pamerkan aksi yang kosisten dalam semua perlawanan yang tinggal dan selalu ingatkan mereka kedudukan pasukan dalam carta," katanya.
-Bernama

