Menang SUKMA, Selangor curah sejuta ringgit pada atlet

       

Kerajaan Selangor bersetuju memberikan insentif lebih sejuta ringgit kepada atlet negeri atas kejayaan menjadi johan keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, insentif itu hanya akan diberikan kepada atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan yang memperoleh pingat emas.

"Kejayaan Selangor wajar dapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri, sukacita dimaklumkan kerajaan negeri Selangor setuju tingkatkan pembayaran insentif untuk atlet SUKMA dari RM950,000 kepada RM1.1 juta," katanya dalam sidang DUN Selangor di Shah Alam, hari ini.

Azmin berkata setiap atlet perseorangan yang memenangi pingat emas menerima insentif berjumlah RM5,000 manakala berkumpulan menerima sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 setiap seorang.

Majlis meraikan semua atlet bakal diadakan pada Rabu ini di Dataran SUK, Shah Alam.

Selangor mencatat 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa untuk menjulang juara keseluruhan SUKMA edisi ke-18 semalam.

Dalam temasya itu, kontinjen Merah Kuning mengatasi tuan rumah, Sarawak, yang di tempat kedua dengan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa.

Terengganu pula di tangga ketiga dengan 47 emas, 42 perak, 44 gangsa.

Azmin juga semalam mendapat keizinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adnan Satem memasuki bumi kenyalang itu untuk meraikan kejayaan kontinjen Selangor.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.