Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jualan tiket F1 di SIC meningkat 200 peratus

Penganjuran pusingan ke-16 Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Sept hingga 2 Oktober ini menunjukkan impak positif daripada penjualan tiket melalui ejen seluruh dunia yang meningkat lebih 200 peratus.

Sebelum ini, sejak 2001 Malaysia menganjurkan perlumbaan Grand Prix itu di pusingan kedua dan ini merupakan kali pertama F1 diadakan pada pusingan ke-16, iaitu kelima terakhir sebelum lengkap 20 pusingan perlumbaan siri jelajah dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali berkata penukaran tarikh itu untuk memberi masa yang lebih panjang kepada SIC dan Malaysia melakukan promosi dengan merancang pelbagai aktiviti menarik.

"Jualan tiket dan pakej pelancongan meningkat sebanyak 200 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas. Dari segi jualan luar negara memang agak baik dan saya harap rakyat Malaysia akan terus sokong supaya jualan terus meningkat selepas pelancaran hari ini.

"Peningkatan jualan dan jumlah penonton ini membolehkan SIC buktikan kepada kerajaan Malaysia untuk mereka membuat justifikasi bagi meneruskan penganjuran perlumbaan ini selepas tahun 2018," katanya pada pelancaran F1 Grand Prix Malaysia 2016, di Kuala Lumpur.

Malaysia terus diberi kepercayaan mengendalikan F1 untuk tempoh tiga tahun sehingga 2018, di samping syarikat gergasi minyak Petronas menjadi penaja utama pada kontrak baharu itu.

Malaysia mula menganjurkan perlumbaan F1 pada 1999.


Razlan berkata sempena penganjuran kali ini, buat pertama kalinya perlumbaan GP2 dan GP3 akan turut dipertandingkan dan masing masing dibarisi oleh dua wakil negara iaitu Nabil Jeffri dan Akash Nandy.

Mengulas mengenai permukaan litar yang dinaik taraf, Razlan percaya litar baharu itu akan memberi lebih banyak cabaran berbanding sebelum ini.

Katanya, pelumba tidak boleh memandang rendah terhadap Litar Sepang kerana litar itu bakal memberi kejutan, di samping cuaca tidak menentu di Malaysia.

"Selain litar, banyak lagi benda yang bakal berubah termasuk keputusan akhir. Tapi saya mahu pasukan Mercedes AMG Petronas membuat kejutan dengan memenangi perlawanan kedua terakhir ini di Sepang," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS