Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Tak ada jet peribadi, tapi TRW ada jati diri'
Diterbitkan:  Aug 3, 2016 6:53 PM
Dikemaskini: 11:37 AM

Ketika pasukan JDT mengumumkan bakal menerima hadiah sebuah kapal terbang untuk kegunaannya, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa pula tampil menyuntik kata-kata semangat kepada pemainnya.

Annuar berkata meskipun The Red Warriors (TRW) tidak memiliki kemudahan termasuk stadium dan padang sendiri, namun mereka tetap berbangga kerana masih memiliki jati diri.

"Selamat Berjuang TRW, kita tidak punya pesawat jet peribadi. Kita tidak punya stadium atau padang latihan sendiri.

"Kita tidak punya pemilik peribadi, kita tidak punya dana negeri. Tapi kita punya jati diri," tulisnya di Facebook.

Malam ini ini skuad bimbingan Velizar Emilov Popov bakal berdepan Felda United untuk perlawanan ke-16 Liga Super.

Sementara itu, JDT semalam mengumumkan bakal muncul pasukan bola sepak pertama tanah air yang mempunyai kemudahan pengangkutan udara sendiri.

Ini susulan penganugerahan sebuah pesawat Gulfstream 550 daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Seperti mahu membangkitkan semangat pemain dan penyokong Kelantan, Annuar berkata pihaknya mempunyai maruah diri dan penyokong sejati.

"Kalah menang kita lalui, tidak sombong bila dipuji. Tidak emo (emosi) bila dibenci, kita berjuang demi negeri yang kita cintai.

"Berusaha, bertawakal pada rabbul izzati," katanya.

Pasukan kelantan kini berada di tangga kelima liga dengan kutipan 17 mata selepas mengharungi 15 perlawanan, manakala di saingan kumpulan B Piala Malaysia pula mereka kini mendahului pasukan lain.

 

Lihat Komen
ADS