Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Jodoh tak panjang, FAS tamatkan kontrak Zainal
Diterbitkan:  Aug 7, 2016 6:17 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Jodoh tidak panjang, itulah nasib menimpa jurulatih Selangor Zainal Abidin Hassan‎ apabila ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta-merta.

Pengurus Skuad The Red Giant Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini berkata‎ FAS mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas prestasi hambar pasukan bola sepak Selangor sejak kebelakangan ini.

"Melalui arahan menteri besar Selangor yang juga presiden FAS saya ingin mengumumkan FAS menamatkan kontrak Zainal Abidin selaku ketua jurulatih berkuat kuasa serta merta," katanya.

Zainal Abidin mula membimbing pasukan Selangor sejak Januari lalu menggantikan Mehmet Durakovic yang turut ditamatkan kontrak walaupun berjaya membawa pasukan menjuarai Piala Malaysia 2015.

‎Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan beliau semalam menggesa rombakan pasukan juara 33 kali Piala Malaysia itu dilakukan selepas menampilkan prestasi buruk musim ini.

Tewas tipis 0-1 bertemu Kedah pada aksi Liga Super malam tadi menjadi kekalahan keempat berturut-turut mereka sejak di bawah bimbingan Zainal Abidin.

‎Sehubungan itu, Amirudin berkata, tugas ketua jurulatih akan digalas oleh K Gunalan, iaitu penolong ketua jurulatih sehingga FAS mengenal pasti calon sesuai bagi mengemudi pasukan Selangor menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

"Pada masa sama, rombakan menyeluruh ke atas pengurusan FAS akan diumumkan 8 Ogos (esok)," katanya.

Lihat Komen
ADS