Dua pemain tenis utama dunia - Novak Djokovic dan Andy Murray - kalah dalam saingan mereka di Rio de Janeiro.

Walaupun 'liat' Djokovic terpaksa akur dan tewas kepada Juan Martin del Potro dari Argentina dalam perlawanan perseorangan dengan mata 6-7 (4-7) dan 6-7 (2-7).

Djokovic ketika ini adalah pemain nombor satu dunia manakala del Potro berada di kedudukan ke-141.

Sementara itu pemain nombor dua dunia, Andy, kalah dalam saingan beregu kepada pasangan tuan rumah - Brazil - Thomaz Bellucci dan Andre Sa dengan 6-7 (6-8) dan 6-7 (14-16).

Andy bergandingan dengan adiknya Jamie Murray mewakili Britain dalam saingan Olimpik kali ini.

Bagaimanapun dalam perlawanan perseorangan Andy berjaya melangkah ke pusingan seterusnya selepas mengalahkan wakil Serbia, Viktor Troicki.

Kategori wanita juga tidak kurang kejutannya.

Pemenang pingat emas Olimpik London 2012, pasangan adik beradik Venus dan Serena Williams turut kalah dalam perlawanan pertama mereka.

Gandingan yang menundukkan pemain AS itu ialah wakil Republik Czech, Lucie Safarova dan Barbora Strycova yang mencatat kemenangan mudah 6-3 dan 6-4.

Untuk rekod Serena adalah pemain nombor satu dunia manakala kakaknya di kedudukan keenam terbaik.

Kecundang di London

Lucie pula pemain di ranking ke-29 manakala Barbora di tempat ke-26.

Nama-nama besar itu memang bukan asing dalam dunia sukan tenis dengan sebahagian daripada mereka mencatat kejayaan besar dalam siri Grand Slam.

Mereka juga antara atlet paling kaya di dunia.

Bagaimanapun penyertaan mereka dalam temasya sukan seperti Olimpik biasanya tidak didorong oleh faktor kewangan kerana pemenang hanya diberikan pingat.

Namun bagi sesetengah atlet profesional mendapat pingat emas dalam temasya seperti Olimpik memberikan kepuasan yang tersendiri.

Del Potro pernah menewaskan Djokovic dalam saingan pingat gangsa di London empat tahun lalu namun tercicir daripada senarai 100 terbaik dunia selepas dibelenggu kecederaan pergelangan tangan sejak beberapa tahun lalu.

"Tidak syak lagi ini satu kekalahan paling sukar dalam hidup dan karier saya. Tidak mudah untuk menghadapinya," kata Djokovic seperti dilaporkan BBC Sport.

"Saya sedia dan kecewa apabila terkeluar daripada pusingan awal kejohanan ini, tetapi di sisi lain saya gembira apabila rakan baik saya kembali. Hebat dapat melihat seorang yang bergelut dengan kecederaan kembali bermain di peringkat ini," katanya.

Djokovic, 29, menjuarai empat daripada lima siri Grand Slam musim lalu.