Susulan kekecohan membabitkan penyokong JDT dan Perak di Stadium Ipoh Sabtu lalu, pemilik kelab itu tampil memberi kenyataan berhubung perkara berkenaan.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam wawancara disiarkan di Facebook rasmi pasukan itu berkata, beliau hairan mengapa semua orang menjadikan kejadian tersebut sebagai isu yang begitu besar.

"Tidak kira berapa banyak perkara baik yang kami lakukan, kami akan sentiasa dianggap sebagai jahat. Tidak kira betapa betul sekalipun kami, di mata mereka kita akan sentiasa salah.

"Ia sentiasa merupakan kesalahan kita. Kami telah menjadi mangsa sejak dari Stadium Lumut sehingga ke hari ini. Setiap kali kami pergi ke Perak, kami akan sentiasa menghadapi masalah," kata Tengku Mahkota Johor itu.

Menurut Tunku Ismail, JDT bukanlah satu-satunya pasukan yang menghadapi masalah itu kerana pasukan lain - seperti Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur - juga menghadapi nasib yang sama.

Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan masalah itu lagi.

"Kini bangsa Johor terkejut apabila cerita sebenar diolah malah ditambah-tambah untuk menyedapkan cerita dan menyebelahi satu pihak, dengan media dan laman media sosial menyebelahi pihak mereka.

"Saya tidak faham mengapa anda begitu terkejut kerana kes tersebut sudah kerap berlaku. Sebelum ini saya sentiasa mengambil berat perkara sebegini kerana saya mahu menjaga nama baik negeri.

"Tetapi sekarang saya tidak perlu memperjelaskannya atau peduli lagi. Ini kerana apabila seseorang tidak menyukai anda, tidak kira berapa banyak perkara baik yang anda lakukan, anda tetap dianggap jahat," jelasnya.

Terima, akur jika dihukum

Skuad Harimau Selatan berjaya menewaskan Perak 1-0 sebelum insiden pergaduhan melibatkan kedua-dua penyokong tercetus.

Insiden itu turut membabitkan seorang jurugambar sebuah akhbar yang didakwa dikasari beberapa penonton.

Ditanya komen beliau mengenai saranan pihak tertentu supaya potongan mata pasukan dilakukan bagi penyokong yang melakukan kekecohan, Tunku Ismail berkata, perkara itu telah dibangkitkan sejak dua tahun lalu.

"Saya tidak tahu mengapa baru sekarang ada pihak tertentu ingin mencadangkan tentang pemotongan mata ini sedangkan perjalanan liga bola sepak kita sudahpun berjalan separuh musim.

"Sepatutnya ia diselaraskan dari awal musim lagi. Tetapi sekiranya pihak FAM ingin melaksanakannya juga, kita terima dan kita akur sekiranya pihak kami ada melakukan kesalahan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tindakan terhadap insiden tersebut menurut beliau, JDT sentiasa diiringi satu unit pasukan khas dari kontinjen polis Johor ketika perlawanan di laman sendiri mahu pun di tempat lawan.

Tunku Ismail berkata, beliau menerima laporan daripada mereka dan telah meneliti laporan tersebut.

"Cerita sebenar ditambah-tambah lagi untuk mensensasikannya dan meletakkan punca kekecohan itu semata-mata dari pihak JDT.

"Saya sarankan untuk mendengar laporan dari kedua-dua pihak terlebih dahulu dan tidak menuding jari sesuka hati kepada satu pihak sahaja." katanya.