Kelab yang tepat - itu gambaran diberi Paul Pogba mengenai Manchester United (MU) selepas perpindahannya dari Juventus menjadi kenyataan hari ini.

Pemain tengah dari Perancis itu berhijrah ke Old Trafford dengan mencatat pembelian termahala dalam sejarah, iaitu £89 juta (RM466.3 juta).

Rekod perpindahan termahal sebelum ini dicatat Gareth Bale pada 2013 ketika dia meninggalkan Tottenham Hotspur untuk menyertai Real Madrid.

Nilai perpindahan Bale ialah £85 juta (RM445.4 juta).

Pogba, 23, menandatangani kontrak bersama MU selama lima tahun.

Ketika di Itali Pogba memenangi kejuaraan Serie A sepanjang empat musim bersama kelab berkenaan.

 

 

Pengurus MU Jose Mourinho berkata Pogba berpotensi menjadi "jantung kelab" berkenaan untuk tempoh sedekad akan datang.

Sebelum Pogba Mourinho sudah mengikat tiga pemain baru untuk MU iaitu Eric Bailly (pemain pertahanan Ivory Coast), Zlatan Ibrahimovic (Sweden) dan Henrikh Mkhitaryan (Armenia).

Pogba pernah menyertai MU dari kelab Perancis, Le Havre pada 2006 ketika dia baru berusia 16 tahun namun hanya diturunkan beberapa kali sebelum kontraknya tamat pada Julai 2012.

Bersama Juventus dia membuat 17 penampilan, 34 jaringan gol dan membantu kelab itu ke perlawanan akhir Liga Juara-juara pada 2015.

Juventus menawarkan kontrak baru kepadanya, dan Real Madrid turut menunjukkan minat sebelum ini namun Pogba memilih MU.

"Ibu saya pernah berkata, saya ditakdirkan untuk kelab MU," katanya.

Sabtu lalu Pengurus Juventus Massimiliano Allegri memanggil Pogba untuk menyertai latihan pemain kelab itu.

Sehari kemudian MU mengumumkan mereka akan melakukan ujian kecergasan ke atas Pogba.

Diiringi hashtag #POGBACK Pogba tiba di Manchester semalam.

Namun pengesahan rasmi hanya dibuat pada awal pagi tadi dalam detik dianggap Pogba sebagai "menjengkelkan".

Mengenai kerjayanya di Old Trafford sebelum ini Pogba berkata dia meninggalkan kelab berkenaan kerana "menyampah" dengan Alex Ferguson yang sering mengetepikannya.

Untuk rekod berikut adalah rekod perpindahan termahal dunia:

  • Gareth Bale, Spurs ke Real Madrid, 2013: £85 juta (RM445.4 juta
  • Cristiano Ronaldo, MU ke Real Madrid, 2019: £80 juta (RM419.2 juta)
  • Kaka, AC Milan ke Real Madrid, 2009: £56 juta (RM293.4juta)
  • Zinedine Zidane, Juventus ke Real Madrid, 2001: £46 juta (RM241 juta)
  • Luis Figo Barcelona ke Real Madrid, 2000: £37 juta (RM193.9 juta)