Kedah dan Kelantan mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir selepas kemenangan masing-masing dalam aksi keempat peringkat kumpulan Piala Malaysia 2016, malam ini.

Skuad Helang Merah yang juga naib juara musim lalu meneruskan rentak cemerlang dengan kemenangan tipis 3-2 berdepan JDT II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Anak buah Tan Cheng Hoe dilihat turun tanpa tekanan dengan membariskan pemain-pemain utama mereka khususnya di posisi serangan.

Gandingan Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi, Ahmad Syazwan Zainon dan Smeltz Shane Edwards di posisi serangan cukup menyempurnakan percaturan pasukan pelawat.

Lebih penting, Kedah dilihat lebih menguasai gerakan serangan berbanding tuan rumah walaupun saling berbalas gol.

Tempoh 45 minit pertama, Kedah menceriakan penyokong mereka seawal minit ke-13 melalui tandukan cantik Smeltz Shane menewaskan penjaga gol JDT II, Al Hafiz Hamzah.

JDT II tampil menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi penyerang import mereka, Paulo Rangel sebelum Ahmad Syazwan meletakkan Kedah di depan seminit berselang.

Bagaimanapun kedudukan 2-1 tidak memberi keselesaan yang lama bagi Kedah apabila skuad Harimau Selatan itu menyamakan jaringan melalui Muhammad Hadi Fayyadh di minit akhir separuh masa pertama.

Sementara itu, aksi separuh masa kedua memberi kelebihan kepada pasukan pelawat walaupun JDT II dilihat lebih banyak memberi tekanan ke kubu pertahanan Kedah.

Rembatan padu Baddrol menjadikan penyudah sempurna kunjungan Helang Merah - untuk gol ketiga sekali gus mengutip tiga mata penuh di tempat lawan dalam saingan kumpulan A itu.

Selangor bangkit

Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang juga menyaksikan keputusan berpihak kepada pasukan pelawat apabila Kelantan menang tipis 1-0 berdepan Kuala Lumpur.

Jaringan tunggal kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badri Radzi membolehkan Kelantan membuka peluang mara ke peringkat suku akhir.

Kelantan mengutip 10 mata dengan baki dua perlawanan di peringkat kumpulan B diikuti pasukan Selangor di posisi kedua yang turut melakar kemenangan berdepan Pahang.

Perlawanan di Stadium Shah Alam itu menyaksikan Patrick Wleh tampil berbisa dengan jaringan hatrik membenam skuad Tok Gajah 3-0.

Kemenangan itu seolah-olah kebangkitan semula The Red Giants selepas tewas empat kali berturut-turut pada perlawanan lalu sehingga memaksa pengurusan Selangor menamatkan kontrak jurulatih dan rombakan pengurusan.